Saturday, 9 June 2012

SISI KEHIDUPAN : GOLONGAN SONGSANG

Allah telah menjadikan manusia sebaik-baik kejadian. Bermula daripada Adam yang dijadikan daripada tanah, kemudian Allah tidak membiarkan Adam keseorangan. Dijadikan pula Hawa daripada tulang rusuk Adam sebagai pendamping Adam di syurga. Oleh sebab mereka ingkar arahan Allah swt, mereka dihumbankan ke dunia. Namun, mereka dipertemukan semula dan bermula dari situ maka, berkembanglah anak cucu Adam.


          Dijadikan manusia lelaki dan perempuan supaya kita dapat berpasang-pasangan. Sudah menjadi fitrah, lelaki pasangannya wanita dan wanita pasangannya lelaki. Dengan ikatan yang sah, maka berkembanglah keturunan manusia. Apa yang ingin dikongsikan adalah mengapa ada masyarakat hari ini menafikan dan menolak fitrah yang telah Allah swt aturkan?


          Hari ini terlalu banyak 'drama' songsang yang disajikan di depan mata kita. Lelaki berpasangan dengan lelaki, begitu juga wanita yang berpasangan dengan wanita. Walaupun cuba menyembunyikan identiti sebenar dengan lagak dan cara berpakaian, tetapi ia masih tidak dapat mengubah hakikat yang sebenar. Walaupun ada yang sanggup melakukan pembedahan, namun ia tetap tidak sempurna seperti yang telah Allah anugerahkan. Pelbagai gelaran yang diberikan kepada golongan ini. Antaranya, gay, homoseksual, pondan, maknyah, lesbian, pengkid, tomboy, dan bermacam-macam lagi. Namun, gelaran ini seolah-olah tidak menjadi kudis buat mereka. Mereka semakin berani menunjukkan sisi hidup mereka yang sebenar kepada umum. Lebih-lebih lagi,ayat-ayat cinta dan ayat-ayat 'frust' yang terpapar di laman sosial mereka. Satu perasaan yang dapat dikongsikan adalah MELUAT!


          Bukan niat untuk menghentam golongan ini. Tetapi, lebih menyakitkan apabila ada golongan gay yang mengatakan masyarakat hari ini hanya pandai menghentam dan mengatakan perbuatan mereka berdosa tetapi, di dalam Al-quran tidak ada mengatakan perbuatan mereka salah. Masya Allah.....Betapa jahilnya mereka dan sungguh menunjukkan kebodohan yang teramat sangat dalam bidang agama. Tidakkah mereka tahu di dalam Al-quran ada menceritakan azab yang diturunkan oleh Allah swt kepada kaum Nabi Luth as yang menolak wanita sebagai pasangan mereka? Di dalam surah Al-A'raaf umpamanya, seperti yang disebut pada ayat 81 yang bermaksud : "Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas". Kemudian, Allah berfirman lagi dalam surah yang sama, ayat 84 yang bermaksud : " Dan kami turunkan kepada mereka hujan (batu); maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa itu"


          Selain itu, kisah golongan kaum Nabi Luth as yang jahil ini juga disebut dalam surah Al- Hijr apabila Allah swt menurunkan balasan seperti yang terdapat dalam ayat 74. Maksudnya: "Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang keras". Sesungguhnya, azab kepada golongan Nabi Luth as ini turut diulang dalam beberapa lagi surah iaitu, surah Asy Syu'araa', Ash Shaafaat dan juga Al Qamar.




          Sesungguhnya, Allah tidak menjadikan sesuatu itu untuk disia-siakan. Kita diberikan akal untuk kita gunakan supaya dapat memikirkan mana yang benar mana yang salah, dan yang mana dosa yang mana pahala. Penulisan kali ini bukanlah untuk mencaci dan mengeji golongan seperti ini cuma, sedikit-sebanyak diharapkan dapat membuka mata dan menimbulkan kesedaran serta keinsafan agar lebih takutkan azab Allah swt. Nikmat di dunia hanya sementara, di akhirat jua yang abadi. Selagi kita diberikan kesempatan untuk bernafas di muka bumi Allah ini, selagi itu kita diberi kesempatan untuk memperbaiki diri. Sebelum mengundur diri, ingin saya kongsikan sepotong ayat yang dipetik daripada surah Al-Israa', ayat 72 yang bermaksud : "Dan barangsiapa buta (di dunia) ini akan buta (pula) di akhirat dan lebih tersesat (lagi) dari jalan (yang benar)". Wallahu alam......Renungkanlah. Yang baik itu datangnya daripada Allah, yang buruk itu datangnya daripada saya sendiri.....Salam....