Wednesday, 3 December 2014

NIKMAT MEMBERI

Pepatah ada mengatakan, "Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima." Benar seperti apa yang dikatakan. Tetapi sebagai pemberi, janganlah sesekali kita bersikap riak dan takbur dengan setiap pemberian kita kepada orang lain. Kecil atau besar pemberian tersebut, haruslah ikhlas kerana Allah SWT. 
        Dalam situasi ini, banyak karenah dan aneka ragam yang kita dapat lihat. Ada yang benar-benar ikhlas memberi dan ada juga yang memberi sekadar untuk menunjuk-nunjuk kelebihan diri kepada orang lain. Sudah tentu niat untuk memberi tadi sudah terpesong dari landasan yang sebenar. Dan sudah tentu, pahala yang dicari bertukar kepada mendapat dosa pula.
         Ada juga sesetengah manusia yang memperlekehkan usaha orang lain untuk membantu pihak lain sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata yang menimbulkan rasa kurang senang pihak yang mendengar apatah lagi pihak yang menerima. Demi Allah, andai hati dan tangan tidak ada niat untuk memberi, apa salahnya kita menolak dengan cara yang lebih berhemah. Atau lebih baik, tutup mulut dan kelukan lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan orang lain. 
        Dari Abu Hurairah : Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda; "Tidakkah harta menjadi berkurang kerana sedekah, dan tidaklah seseorang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kehormatan kepada dirinya; dan seseorang tiada bersikap merendah diri kerana Allah, melainkan ia akan diangkat darajtnya oleh Allah." - Hadis Riwayat Muslim dan Tarmidzi.
        Agama mengajar kita untuk bersikap baik kepada orang lain kerana setiap perbuatan yang baik akan mendapat balasan yang baik juga. Hidup ini ibarat pusingan roda. Hari ini kita berada di atas tetapi mungkin suatu hari nanti kita juga akan berada di bawah. Jangan sesekali kita takbur dengan kedudukan kita dan apa yang kita ada. Suatu hari yang berada di bawah juga akan bangkit dan berada di atas. Allah Maha Berkuasa. Yang susah tidak akan selamanya susah. Andai ada usaha, tidak mustahil untuk mereka bangkit semula. 
       Kita perlu ingat, setiap pemberian kita kepada orang lain pasti ada rezeki lain untuk kita. Orang yang menerima akan mendoakan kesejahteraan kita. Insyaallah, rezeki yang kita perolehi akan lebih berkat dan akan menyuburkan keimanan kita kepada Allah SWT.
        Dari Abu Hurairah : Rasulullah SAW bersabda; “Barangsiapa meringankan seseorang yang berada dalam kesulitan di dunia ini , nescaya kelak Allah akan meringankan dirinya di dunia mahupun di akhirat .” - HR Muslim. 
        Dalam memberi, paling utama kita perlu ikhlaskan hati. Niatkan pemberian hanya kerana Allah SWT kerana hanya Dia yang memberikan kita nikmat rezeki yang tidak putus-putus. Dalam setiap rezeki yang kita nikmati, pasti ada bahagian untuk orang lain juga. Kita perlu yakin, apabila kita memberi, Allah akan memberikan keluasan rezeki buat kita juga. Marilah kita sama-sama hulurkan tangan, ringankan beban. Tidak kira kecil atau besar pemberian tersebut, Allah tetap akan memberikan ganjaran buat kita asalkan kita benar-benar ikhlas membantu. Ganjaran besar akan menanti walaupun pemberian kita cuma sebesar biji kurma. Insyaallah, Allah akan melipat gandakan rezeki kita kelak. Semoga hidup kita akan dirahmati dan peroleh keberkatan daripada Yang Maha Esa. Amin Ya Rabbal A'lamin.....



Saturday, 4 October 2014

HATI YANG TERKORBAN (belasahhhhh)

Assalamualaikum....
Lama rasanya tak menulis dalam blog ni. Almaklumlah, banyak sangat kerja yang perlu dibuat dan semuanya mengejar "date line". Dapat-dapat pulak budak-budak dah nak menduduki PT3. Eh, tak nak cakap pasal bidang tugas guru nanti ramai plak yang tak puas hati dengan cikgu-cikgu. Konon kerja cikgu dah cukup senang, cuti banyak, balik awal dan bla,bla,bla lagi.....Uish, letih nak memahamkan orang yang tak faham dengan tugas guru sebenarnya.

Sementara esok yang nak sambut Hari Raya Aidiladha a.k.a Hari Raya Qurban ni, meh nak cite pasal korban. Tapi bukan pasal lembu @ kambing @ unta yang nak dikorbankan. Ni nak cerita pasal hati yang terkorban. Cewahhhh.... Tapi ni serius. Bukan cobaan yang macam dalam cerita P. Ramli tu.

Nak cerita pasal hati yang terkorban ni kan, membara semangat nak menulis. kihkihkih.... Ada satu kisah (ini kisah benar dan benar-benar terjadi. kalau tak pada aku, mungkin pada orang lain jugak), walau bermacam perkara baik yang kau buat tapi kalau orang dah cop (bukan cop mohor ye) kau bukan-bukan, tetap tak bagi apa-apa makna jugak kat orang tu. Kau buatlah apapun, depan mata memang manis je muka, cakap itu ini tapi bila kat belakang, benda yang dah lepas pun habis digali dan benda yang tak ada pun habis ditokok tambah. Eh, mestilah nak kena tokok tambah kan, wat penyedap rasa. Segala ajinomoto, (nasib baik aku masak tak guna ajinomoto. kalau tak boleh aku tuangkan sekali) serbuk tumix, cukup rasa semua diadun sekali. Kalau tak, orang tak nak join merasa 'masakannya' sekali. 

Cukup pantang bagi aku orang sibuk bercerita hal aku kat belakang. Kalau rasa tak puas hati meh berdepan. Tak payah nak jaja mulut bercerita sana-sini. Tak kira kau siapa. Kalau betul aku salah, aku terima dengan hati yang terbuka. 

Aku tak faham kenapa ada orang yang sanggup burukkan orang lain waima ahli keluarga sendiri pada orang lain yang tak ada kena mengena dengan hidup dia dan yang tak pernah bagi keluarga dia makan pun. Ada isteri yang sanggup menjaja cerita suami sendiri, suami cerita buruk isteri pada orang lain, mak bapak cerita perihal anak (apatah lagi menantu yang dianggap hantu pada pandangannya), kakak burukkan adik,adik burukkan kakak abang dan bla,bla,bla lagi...Bukan ke sikap orang yang macam ni ibarat meludah ke langit! Yang tak syoknye, bila orang tak berapa nak menyokong kata-kata kau, kau bengang dan boleh plak kau mengata pasal orang tu balik. Alahai.....pendek kata, kau sorang je la yang betul. Orang lain semua salah pada pandangan mata kau. Apabila ditegur, tak boleh diterima. Ada je yang salah dan tak kena. Konon nak mintak pendapat, tapi sebenarnya nak cari penyokong untuk terima segala hujah yang dirasakan betul.

Aku memang jenis yang cakap terang-terang. Kalau aku rasa apa yang kau cakap salah, aku cakap salah. Aku bukan hipokrit nak mengikut je apa kata orang. Tapi, kalau bercakap dengan orang yang egonya tinggi melangit, kau cakap la apapun, bagi dia, dia tetap betul. So, lepas ni,abaikan perasaan orang lain. Baik jaga hati sendiri. Biarlah nak cakap apa, masuk telinga kanan, keluar ikut telinga kiri. Kau susah pun tak ada siapa yang peduli. 

Lagi satu, tak payahlah nak jadi internet bergerak nak menyampaikan sana-sini. Kalau orang kata A dan kau sampaikan A jugak ok lah. Tapi, kalau dah jadi B tak ke haru?Apa yang kau dapat?Nak kata dapat anugerah tak jugak. Tapi, kalau nak merasa makan daging saudara sendiri pun ngam jugak kan?

Aku tak suka orang hipokrit dan bersikap talam dua muka. Kalau rasa ada yang tak kena benda boleh bawak bincang. Tapi, payah gak kalau nak bincang ngan orang yang rasa dia je yang betul. Nak bincang apapun tak kan bagi apa-apa makna gak. Jalan terbaik, diamkan je la. Makan je hati berulamkan jantung....Yang best, gomok gak aku kan....kihkihkih.

Eh, dah la. sebelum aku merepek, melalut dan meraban ntah apa-apa aku blah dlu la. Kepada siapa yang faham maksud penulisan aku kali ni, diam-diam sudah. Yang tak faham pun dok diam-diam jugak. Tak payah nak fahamkan sangat sebab hanya kita yang faham diri kita. Kisah ni adalah sebahagian daripada sisi kehidupan kita sebagai khalifah Allah yang penuh dosa...SALAM.


Tuesday, 10 June 2014

LONTARAN PUISI KARANGAN JIWA

Assalamualaikum....
Entry kali ni cuma nak kongsikan puisi yang pernah dikarang beberapa ketika dahulu. Minat dalam bidang penulisan puisi ni memang dah lama, sejak sekolah lagi cinta sudah berputik. Cewahhh...hahaha!Tapi di sekolah dahulu tak berpeluang untuk mempelajarinya secara formal sebab aku memilih kelas geografi sebagai pilhan. Itupun salah satu minat yang mendalam. Tapi sekarang banyak sekolah tidak menawarkan subjek Geografi.Tak tahu dimana silapnya. Begitu juga dengan subjek Kesusasteraan Melayu. Andai tiada usaha daripada pihak yang terbabit, tak mustahil Kesusasteraan Melayu akan hilang di buminya sendiri. Kesenian dalam bahasa itu sendiri menarik minat aku dan sebab itu Kesusasteraan Melayu menjadi subjek minor ketika di universiti.
Ok, sekarang hayatilah bait puisi hasil karanganku.....

1) Puisi pertama ilham daripada kehilangan MH370 yang dikarang pada 11 Mac 2014.

Kau menghilang tanpa jejak
membuat satu dunia serba tak kena
tangisan dan harapan sama bergema
mengharap pulangnya dikau dengan segera.

Doa dan solat dimana-mana
mengharap agar dikau dijumpa 
satu dunia bergabung tenaga
dengan bulat tekad penuh bermakna.

Walau kita bukan sesiapa 
tidak pada darah jauh sekali keluarga
namun doa dan harapan berpadu setia
mohon dikau kembali segera.

2) Puisi kedua dikarang pada 18 Mei 2014 ilham datang daripada apa yang dilihat disekeliling tentang wanita masa kini.

Wahai kaum hawa
dikau banyak menghuni neraka
dek kerana leka dan dosa.

Wahai kaum hawa
kau berpakaian seumpama bertelanjang
bebas berkongsi gambar di ranjang
segala malu jauh kau buang
minuman keras bangga kau tonggang
benda haram selamba kau tayang.

Wahai sang suami, abang, adik dan bapa
kelak kau disoal sang pencipta
di mana letaknya maruah dan wibawa.

Wahai kaum hawa
sedarlah kau daripada lena 
janganlah kau mudah terleka
dunia ini pinjaman sementara
kau hanya menempah tiket ke neraka.

Thursday, 1 May 2014

DUSTA SEBUAH CERITA

Bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang. Setiap orang ada ragamnya yang tersendiri. Dewasa kini kita terlalu mudah untuk menghukum orang tanpa menyelidik dahulu kesahihan sesuatu berita yang didengar. Tanpa usul periksa, kita cepat mempercayainya kemudian turut sama menyebarkan berita yang belum tentu hujung pangkalnya.

Ada manusia yang menggunakan kelebihan yang ada pada dirinya untuk menjatuhkan orang lain.Sahabat sanggup menikam belakang sahabatnya semata-mata untuk kepentingan peribadi dan dipandang tinggi orang sekeliling. Ada juga manusia yang tidak boleh melihat kelebihan orang lain. Maka, mulalah cerita-cerita yang tidak enak disampaikan kepada orang lain. Dahulu aku tidak percaya bahawa seorang rakan baik akan sanggup memperlakukan kita sedemikian rupa. Namun, pengalaman telah mula membuka mata aku untuk lebih berhati-hati dengan rakan baik sendiri. Kalau orang yang tidak berapa rapat dengan kita, kita tak perlu risau kerana apalah sangat yang dia tahu tentang kita. Namun, hati akan rasa kecewa apabila orang yang kita percayai sanggup menikam kita dari belakang.

Zaman belajar di universiti memberikan 1001 pengalaman yang sangat berharga. Berbagai-bagai cabaran yang dihadapi menjadikan aku tabah untuk mengecap kejayaan. Hati ini masih teringat saat terdengar seorang sahabat menceritakan sesuatu yang tidak enak tentang kita. Ditambah dengan perlakuannya yang seakan mencurigakan membuatkan hati sangat kecewa. Menangis sendiri tidak siapa yang tahu. Aku yakin sehingga sekarang mungkin 'sahabat' itu tidak mengetahui bahawa sebenarnya aku menyedari setiap perlakuannya di belakang aku kerana aku berlagak selamba di hadapannya seolah tiada apa. Semuanya hanya kerana ingin mengejar 'pointer' dan ingin orang lain memandangnya lebih baik daripada aku. Katanya, orang Melaka sangat kasar dan mungkin itu satu point yang digunakan untuk memburukkan aku.

Aku tidak kisah apa pun orang fikirkan tentang aku. Tak kenal maka tak cinta....

Betul, ada manusia yang tidak suka melihat kelebihan orang lain. Pelbagai cerita disulam dengan kata dusta untuk menjatuhkan orang lain. Tambahan pula, zaman kini yang kaya dengan teknologi. Fitnah sewenang-wenangnya ditabur sana-sini sehingga orang lain mudah mempercayai.

Ada manusia yang menggunakan kelebihan teknologi untuk mengaibkan orang lain. Tanpa rasa bersalah segala cerita ditokok tambah untuk mencari pengaruh orang lain. Kita jadi lupa kepada malaikat yang setia berada di kiri dan kanan mencatat setiap amalan. Tidakkah kau takut pada balasan Tuhan?

Bukankah Allah mengurniakan setiap anggota kepada kita untuk dimanfaatkan kepada perkara yang lebih berfaedah? Walaupun lidah salah satu anggota yang tidak bertulang, namun ia mampu menjadi satu-satunya senjata yang paling tajam. Sepatutnya kita menggunakan nikmat berbicara melalui lidah untuk mengungkapkan kata-kata yang memberikan manfaat buat diri sendiri dan orang lain. Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya:
Allah Yang Maha Pemurah, yang telah mengajarkan al-Qur'an. Allah menciptakan manusia,mengajarnya berbicara (menerangkan sesuatu cetusan daripada fikiran dan perasaannya).'
(Surah ar-Rahman : 1-4)

Abdullah ibnu Abbas r.a. mengatakan: 'Ada lima perkara yang lebih baik bagi mereka daripada kuda liar yang dibiarkan diam.

Pertama: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu yang tidak mengenai dirimu kerana hal itu merupakan perbicaraan yang tidak perlu dan aku tidak menjamin engkau akan selamat daripada dosa.

Kedua: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu sebelum engkau mengetahui saatnya yang tepat sebab mungkin orang berbicara tentang sesuatu yang penting baginya tetapi kerana dilakukan tidak tepat pada waktunya boleh menimbulkan hal-hal yang memalukan.

Ketiga: Janganlah engkau berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana dan juga dengan orang yang berperangai buruk sebab orang yang sabar tidak akan menghiraukan dirimu manakala orang yang berperangai buruk akan menyakiti hatimu.

Keempat: Ceritakanlah kepada saudaramu yang tidak hadir tentang apa yang engkau sendiri ingin dia ceritakan kepadamu dan maafkanlah dia seperti engkau sendiri ingin dimaafkan olehnya.

Kelima: Buatlah seperti orang yang benar-benar sedar bahawa perbuatan itu akan mendatangkan kebajikan dan tidak akan mendatangkan dosa atau kesalahan. (Ibnu Abi Dunya).

Oleh itu kita harus menguasai lidah kerana seseorang itu boleh terjerumus ke lembah yang hina disebabkan lidahnya yang tidak terkawal. Orang yang berbicara tanpa kawalan akan kehilangan arah. Atas keprihatinan ini, Islam menggariskan tatacara dan adab berbicara agar umatnya sentiasa berada dalam lingkungan keredhaan Allah. (credit to : http://www.islam.gov.my)

Sebagai seorang Muslim, berbaik sangkalah kita kepada orang lain. Sama-samalah kita memanfaatkan kehidupan kita di dunia ini dengan sesuatu yang lebih berharga buat bekalan kita di akhirat kelak. Aku juga insan biasa yang tak lari daripada melakukan kesilapan. Tegurlah dan nasihatilah aku andai adanya tidak kepuasan di hati bukan mengata dan mengeji di belakang. Kepada Allah aku berlindung dan Dialah sebaik-baik pelindung.....

Akhir kata, renungkanlah puisi nukilanku sendiri.....Yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang buruk itu atas kekhilafanku sendiri.Wassalam....


Manusia di zaman ini
di depan bermanis muka
pabila di belakang kuat mengata
mengumpat, memfitnah dan mengeji
tidak kira masa. 

Manusia di zaman ini
hidupnya sering mengadu domba
menambah cerita yang tak pasti ada
lupa yang mana pahala yang mana dosa. 

Manusia di zaman ini
hidupnya bertuhankan nafsu semata
dunia dikejar akhirat dilupa. 

Manusia di zaman ini
lupa pada tuhan yang menjadikan
lupa pada malaikat yang menjadi teman
semua perbuatan kau anggap ringan
seolah-olah kaulah tuhan
orang lain mudahnya kau jatuhkan. 

Kau lupa pada Allah Yang Maha Kuasa
Dia yang menjadi penentu segala
kau bukan sesiapa
mati kau tidak kira masa. 

Jangan kau takbur dengan apa yang kau ada
kau rasa engkaulah yang berkuasa
kau makin jauh daripada agama
kau pergunakan orang dengan sewenang-wenangnya. 

Ingatlah
janji Allah itu pasti
kelak kau akan mengerti... 




Wednesday, 9 April 2014

ALLAH SEBAIK-BAIK PERANCANG....

Lama rasanya tak update apa-apa kat blog ni. Tahun ni memang rasa busy sangat-sangat + tak ada cerita menarik untuk dikongsi.

Diam tak diam, dah hampir 3 tahun aku melayari kehidupan berumahtangga. Pahit manis semuanya ada. Setiap rumah tangga pasti ingin diserikan dengan kehadiran cahaya mata. Yup, siapa yang tidak teringin kan? Tapi, Allah yang tentukan segalanya. 


Baru-baru ni, seorang adik ipar aku telah pun selamat bergelar isteri. Semasa majlis, ada seorang hamba Allah menegur. "Hai, cikgu! Tak takut kena potong line ke?". Mula-mula aku kurang faham. Tapi, akhirnya aku dapat menangkap maksud yang ingin disampaikan. Pantas aku menjawab, "Rezeki masing-masing. Allah yang tentukan.". Tersipu-sipu hamba Allah tersebut. 


Hello!!!!! Boleh tak kalau bercakap tu fikir perasaan orang lain? Bagi kamu mungkin itu soalan biasa. Tapi bagi aku, itu soalan yang paling sensitif. Paling aku panas hati bila bercakap seolah-olah aku yang bermasalah. Tolonglahhhhh!!!!!!! Benih datang daripada siapa pulak ek? Tak salah kalau nak prihatin tapi tolong sensitif dengan perasaan orang lain. Nampak ke bagaimana kami usaha? Berapa banyak produk dah dicuba?Berapa banyak duit dah habis?Berapa banyak kami berdoa?Berapa banyak aku menangis?  


Rasanya tiada siapa yang bernikah yang tidak mahukan ANAK. Itulah harta untuk orang-orang yang telah berumahtangga. Harta yang akan mendoakan mereka kelak. Siapa kamu untuk mengata? 


Doa sememangnya tidak pernah putus, tidak kira selepas solat atau bila pun. Namun, siapa aku untuk menolak ketentuanNya? Aku bersyukur dengan ujian yang diberikan kerana aku tahu aku adalah insan yang terpilih. Setiap dugaan insyaallah akan menjadikan aku insan yang kuat. Sesungguhnya, aku masih lagi berpegang kepada Rukun Iman yang ke-6.



Menurut Surah al-Thalaq : Sebahagian daripada Ayat 3, "Barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu".

Aku yakin kepada Allah. Mungkin belum masanya untuk aku bergelar seorang ummi untuk anak-anak. Aku hanya mampu merancang dan berusaha. Namun, aku tahu sebenarnya Dialah sebaik-baik perancang. 


“Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (siapa yang dikehendakiNya)”. Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.”
Surah Saba’ : ayat 39

Kepada kamu-kamu yang hanya tahu bercakap tanpa memikirkan perasaan orang lain, aku ingin titipkan pesan. Jagalah lidah dan jagalah hati orang lain. Jangan cakap ikut sedap mulut je tanpa memikirkan ada hati yang terluka. Sesekali, selaklah tafsir Al-Quran. Banyak ilmu kat dalam tu yang patut dijadikan pedoman. Aku yakin,kalau kita rajin muhasabah diri, dekatkan diri dengan Allah dan kitab suci, pasti kita akan redha dengan setiap ketentuan yang Allah aturkan. Renung-renungkan dan selamat beramal.....