Diam tak diam, dah hampir 3 tahun aku melayari kehidupan berumahtangga. Pahit manis semuanya ada. Setiap rumah tangga pasti ingin diserikan dengan kehadiran cahaya mata. Yup, siapa yang tidak teringin kan? Tapi, Allah yang tentukan segalanya.
Baru-baru ni, seorang adik ipar aku telah pun selamat bergelar isteri. Semasa majlis, ada seorang hamba Allah menegur. "Hai, cikgu! Tak takut kena potong line ke?". Mula-mula aku kurang faham. Tapi, akhirnya aku dapat menangkap maksud yang ingin disampaikan. Pantas aku menjawab, "Rezeki masing-masing. Allah yang tentukan.". Tersipu-sipu hamba Allah tersebut.
Hello!!!!! Boleh tak kalau bercakap tu fikir perasaan orang lain? Bagi kamu mungkin itu soalan biasa. Tapi bagi aku, itu soalan yang paling sensitif. Paling aku panas hati bila bercakap seolah-olah aku yang bermasalah. Tolonglahhhhh!!!!!!! Benih datang daripada siapa pulak ek? Tak salah kalau nak prihatin tapi tolong sensitif dengan perasaan orang lain. Nampak ke bagaimana kami usaha? Berapa banyak produk dah dicuba?Berapa banyak duit dah habis?Berapa banyak kami berdoa?Berapa banyak aku menangis?
Rasanya tiada siapa yang bernikah yang tidak mahukan ANAK. Itulah harta untuk orang-orang yang telah berumahtangga. Harta yang akan mendoakan mereka kelak. Siapa kamu untuk mengata?
Doa sememangnya tidak pernah putus, tidak kira selepas solat atau bila pun. Namun, siapa aku untuk menolak ketentuanNya? Aku bersyukur dengan ujian yang diberikan kerana aku tahu aku adalah insan yang terpilih. Setiap dugaan insyaallah akan menjadikan aku insan yang kuat. Sesungguhnya, aku masih lagi berpegang kepada Rukun Iman yang ke-6.
Menurut Surah al-Thalaq : Sebahagian daripada Ayat 3, "Barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu".
Aku yakin kepada Allah. Mungkin belum masanya untuk aku bergelar seorang ummi untuk anak-anak. Aku hanya mampu merancang dan berusaha. Namun, aku tahu sebenarnya Dialah sebaik-baik perancang.
“Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (siapa yang dikehendakiNya)”. Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.”.
Surah Saba’ : ayat 39
Kepada kamu-kamu yang hanya tahu bercakap tanpa memikirkan perasaan orang lain, aku ingin titipkan pesan. Jagalah lidah dan jagalah hati orang lain. Jangan cakap ikut sedap mulut je tanpa memikirkan ada hati yang terluka. Sesekali, selaklah tafsir Al-Quran. Banyak ilmu kat dalam tu yang patut dijadikan pedoman. Aku yakin,kalau kita rajin muhasabah diri, dekatkan diri dengan Allah dan kitab suci, pasti kita akan redha dengan setiap ketentuan yang Allah aturkan. Renung-renungkan dan selamat beramal.....