Thursday, 1 May 2014

DUSTA SEBUAH CERITA

Bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang. Setiap orang ada ragamnya yang tersendiri. Dewasa kini kita terlalu mudah untuk menghukum orang tanpa menyelidik dahulu kesahihan sesuatu berita yang didengar. Tanpa usul periksa, kita cepat mempercayainya kemudian turut sama menyebarkan berita yang belum tentu hujung pangkalnya.

Ada manusia yang menggunakan kelebihan yang ada pada dirinya untuk menjatuhkan orang lain.Sahabat sanggup menikam belakang sahabatnya semata-mata untuk kepentingan peribadi dan dipandang tinggi orang sekeliling. Ada juga manusia yang tidak boleh melihat kelebihan orang lain. Maka, mulalah cerita-cerita yang tidak enak disampaikan kepada orang lain. Dahulu aku tidak percaya bahawa seorang rakan baik akan sanggup memperlakukan kita sedemikian rupa. Namun, pengalaman telah mula membuka mata aku untuk lebih berhati-hati dengan rakan baik sendiri. Kalau orang yang tidak berapa rapat dengan kita, kita tak perlu risau kerana apalah sangat yang dia tahu tentang kita. Namun, hati akan rasa kecewa apabila orang yang kita percayai sanggup menikam kita dari belakang.

Zaman belajar di universiti memberikan 1001 pengalaman yang sangat berharga. Berbagai-bagai cabaran yang dihadapi menjadikan aku tabah untuk mengecap kejayaan. Hati ini masih teringat saat terdengar seorang sahabat menceritakan sesuatu yang tidak enak tentang kita. Ditambah dengan perlakuannya yang seakan mencurigakan membuatkan hati sangat kecewa. Menangis sendiri tidak siapa yang tahu. Aku yakin sehingga sekarang mungkin 'sahabat' itu tidak mengetahui bahawa sebenarnya aku menyedari setiap perlakuannya di belakang aku kerana aku berlagak selamba di hadapannya seolah tiada apa. Semuanya hanya kerana ingin mengejar 'pointer' dan ingin orang lain memandangnya lebih baik daripada aku. Katanya, orang Melaka sangat kasar dan mungkin itu satu point yang digunakan untuk memburukkan aku.

Aku tidak kisah apa pun orang fikirkan tentang aku. Tak kenal maka tak cinta....

Betul, ada manusia yang tidak suka melihat kelebihan orang lain. Pelbagai cerita disulam dengan kata dusta untuk menjatuhkan orang lain. Tambahan pula, zaman kini yang kaya dengan teknologi. Fitnah sewenang-wenangnya ditabur sana-sini sehingga orang lain mudah mempercayai.

Ada manusia yang menggunakan kelebihan teknologi untuk mengaibkan orang lain. Tanpa rasa bersalah segala cerita ditokok tambah untuk mencari pengaruh orang lain. Kita jadi lupa kepada malaikat yang setia berada di kiri dan kanan mencatat setiap amalan. Tidakkah kau takut pada balasan Tuhan?

Bukankah Allah mengurniakan setiap anggota kepada kita untuk dimanfaatkan kepada perkara yang lebih berfaedah? Walaupun lidah salah satu anggota yang tidak bertulang, namun ia mampu menjadi satu-satunya senjata yang paling tajam. Sepatutnya kita menggunakan nikmat berbicara melalui lidah untuk mengungkapkan kata-kata yang memberikan manfaat buat diri sendiri dan orang lain. Firman Allah S.W.T.:
Maksudnya:
Allah Yang Maha Pemurah, yang telah mengajarkan al-Qur'an. Allah menciptakan manusia,mengajarnya berbicara (menerangkan sesuatu cetusan daripada fikiran dan perasaannya).'
(Surah ar-Rahman : 1-4)

Abdullah ibnu Abbas r.a. mengatakan: 'Ada lima perkara yang lebih baik bagi mereka daripada kuda liar yang dibiarkan diam.

Pertama: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu yang tidak mengenai dirimu kerana hal itu merupakan perbicaraan yang tidak perlu dan aku tidak menjamin engkau akan selamat daripada dosa.

Kedua: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu sebelum engkau mengetahui saatnya yang tepat sebab mungkin orang berbicara tentang sesuatu yang penting baginya tetapi kerana dilakukan tidak tepat pada waktunya boleh menimbulkan hal-hal yang memalukan.

Ketiga: Janganlah engkau berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana dan juga dengan orang yang berperangai buruk sebab orang yang sabar tidak akan menghiraukan dirimu manakala orang yang berperangai buruk akan menyakiti hatimu.

Keempat: Ceritakanlah kepada saudaramu yang tidak hadir tentang apa yang engkau sendiri ingin dia ceritakan kepadamu dan maafkanlah dia seperti engkau sendiri ingin dimaafkan olehnya.

Kelima: Buatlah seperti orang yang benar-benar sedar bahawa perbuatan itu akan mendatangkan kebajikan dan tidak akan mendatangkan dosa atau kesalahan. (Ibnu Abi Dunya).

Oleh itu kita harus menguasai lidah kerana seseorang itu boleh terjerumus ke lembah yang hina disebabkan lidahnya yang tidak terkawal. Orang yang berbicara tanpa kawalan akan kehilangan arah. Atas keprihatinan ini, Islam menggariskan tatacara dan adab berbicara agar umatnya sentiasa berada dalam lingkungan keredhaan Allah. (credit to : http://www.islam.gov.my)

Sebagai seorang Muslim, berbaik sangkalah kita kepada orang lain. Sama-samalah kita memanfaatkan kehidupan kita di dunia ini dengan sesuatu yang lebih berharga buat bekalan kita di akhirat kelak. Aku juga insan biasa yang tak lari daripada melakukan kesilapan. Tegurlah dan nasihatilah aku andai adanya tidak kepuasan di hati bukan mengata dan mengeji di belakang. Kepada Allah aku berlindung dan Dialah sebaik-baik pelindung.....

Akhir kata, renungkanlah puisi nukilanku sendiri.....Yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang buruk itu atas kekhilafanku sendiri.Wassalam....


Manusia di zaman ini
di depan bermanis muka
pabila di belakang kuat mengata
mengumpat, memfitnah dan mengeji
tidak kira masa. 

Manusia di zaman ini
hidupnya sering mengadu domba
menambah cerita yang tak pasti ada
lupa yang mana pahala yang mana dosa. 

Manusia di zaman ini
hidupnya bertuhankan nafsu semata
dunia dikejar akhirat dilupa. 

Manusia di zaman ini
lupa pada tuhan yang menjadikan
lupa pada malaikat yang menjadi teman
semua perbuatan kau anggap ringan
seolah-olah kaulah tuhan
orang lain mudahnya kau jatuhkan. 

Kau lupa pada Allah Yang Maha Kuasa
Dia yang menjadi penentu segala
kau bukan sesiapa
mati kau tidak kira masa. 

Jangan kau takbur dengan apa yang kau ada
kau rasa engkaulah yang berkuasa
kau makin jauh daripada agama
kau pergunakan orang dengan sewenang-wenangnya. 

Ingatlah
janji Allah itu pasti
kelak kau akan mengerti...