Pepatah ada mengatakan, "Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima." Benar seperti apa yang dikatakan. Tetapi sebagai pemberi, janganlah sesekali kita bersikap riak dan takbur dengan setiap pemberian kita kepada orang lain. Kecil atau besar pemberian tersebut, haruslah ikhlas kerana Allah SWT.
Dalam situasi ini, banyak karenah dan aneka ragam yang kita dapat lihat. Ada yang benar-benar ikhlas memberi dan ada juga yang memberi sekadar untuk menunjuk-nunjuk kelebihan diri kepada orang lain. Sudah tentu niat untuk memberi tadi sudah terpesong dari landasan yang sebenar. Dan sudah tentu, pahala yang dicari bertukar kepada mendapat dosa pula.
Ada juga sesetengah manusia yang memperlekehkan usaha orang lain untuk membantu pihak lain sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata yang menimbulkan rasa kurang senang pihak yang mendengar apatah lagi pihak yang menerima. Demi Allah, andai hati dan tangan tidak ada niat untuk memberi, apa salahnya kita menolak dengan cara yang lebih berhemah. Atau lebih baik, tutup mulut dan kelukan lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan orang lain.
Dari Abu Hurairah : Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda; "Tidakkah harta menjadi berkurang kerana sedekah, dan tidaklah seseorang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kehormatan kepada dirinya; dan seseorang tiada bersikap merendah diri kerana Allah, melainkan ia akan diangkat darajtnya oleh Allah." - Hadis Riwayat Muslim dan Tarmidzi.
Agama mengajar kita untuk bersikap baik kepada orang lain kerana setiap perbuatan yang baik akan mendapat balasan yang baik juga. Hidup ini ibarat pusingan roda. Hari ini kita berada di atas tetapi mungkin suatu hari nanti kita juga akan berada di bawah. Jangan sesekali kita takbur dengan kedudukan kita dan apa yang kita ada. Suatu hari yang berada di bawah juga akan bangkit dan berada di atas. Allah Maha Berkuasa. Yang susah tidak akan selamanya susah. Andai ada usaha, tidak mustahil untuk mereka bangkit semula.
Kita perlu ingat, setiap pemberian kita kepada orang lain pasti ada rezeki lain untuk kita. Orang yang menerima akan mendoakan kesejahteraan kita. Insyaallah, rezeki yang kita perolehi akan lebih berkat dan akan menyuburkan keimanan kita kepada Allah SWT.
Dari Abu Hurairah : Rasulullah SAW bersabda; “Barangsiapa meringankan seseorang yang berada dalam kesulitan di dunia ini , nescaya kelak Allah akan meringankan dirinya di dunia mahupun di akhirat .” - HR Muslim.
Dalam memberi, paling utama kita perlu ikhlaskan hati. Niatkan pemberian hanya kerana Allah SWT kerana hanya Dia yang memberikan kita nikmat rezeki yang tidak putus-putus. Dalam setiap rezeki yang kita nikmati, pasti ada bahagian untuk orang lain juga. Kita perlu yakin, apabila kita memberi, Allah akan memberikan keluasan rezeki buat kita juga. Marilah kita sama-sama hulurkan tangan, ringankan beban. Tidak kira kecil atau besar pemberian tersebut, Allah tetap akan memberikan ganjaran buat kita asalkan kita benar-benar ikhlas membantu. Ganjaran besar akan menanti walaupun pemberian kita cuma sebesar biji kurma. Insyaallah, Allah akan melipat gandakan rezeki kita kelak. Semoga hidup kita akan dirahmati dan peroleh keberkatan daripada Yang Maha Esa. Amin Ya Rabbal A'lamin.....