Wednesday, 8 May 2013

CORETAN BUAT BANGSAKU....

Ibarat rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Itulah diibaratkan dengan senario politik negara masa kini. Aku bukanlah pro mana-mana parti. Aku melihat dan menilai dari perspektif yang mungkin berbeza daripada orang lain. Disebabkan fahaman dan ideologi yang berbeza, masyarakat berpecah-belah. Masing-masing dengan falsafah yang tersendiri.
   Aku jadi malu dengan bangsaku yang bercakaran sesama sendiri. Seharusnya, kita sepakat mencari jalan penyelesaian sesuatu isu. Ini tidak, masing-masing dengan keegoan yang begitu menebal. Saling tuding-menuding dan caci-mencaci. Ada yang sanggup melabelkan seseorang dengan gelaran yang cukup kasar bagi pendengaranku semata-mata mahu memenangi pihak yang disokong. Tak perlu aku jelaskannya kerana aku sendiri meluat dan sakit hati tatkala mendengar 'kalimah' tersebut. Bagaimana pula dengan pihak yang sewenang-wenangnya melabelkan orang lain dengan gelaran sebegitu?Bagi aku, mereka juga sama. Sepatutnya cermin diri sendiri dahulu. Ibarat meludah ke langit, akhirnya terjatuh ke muka sendiri.
   Aku malu apabila pihak yang mengaku diri memperjuangkan nama Islam tapi dengan sewenang-wenangnya mengeji pihak lain. Islam agama yang suci. Jangan sesekali dicemari dengan kata-kata nista dan tindakan yang keji. Mengaku ingin menegakkan agama sedangkan diri sendiri tidak menunjukkan teladan yang baik sebagai muslim sejati.
    Ingin aku tegaskan sekali lagi, aku bukanlah pro mana-mana parti. Tapi inilah hakikat yang berlaku masa kini. Bak kata, tepuk dada tanya selera. Dimana letaknya iman kita sebagai bangsa yang beragama?
    Jangan salahkan pihak lain dalam segala tindak-tanduk kita. Aku yakin, akal kewarasan kita mampu menilai yang mana kaca dan yang mana permata. Aku ibarat seorang pejuang bangsa. Mungkin ada yang berkata, apa yang perlu dibangga dengan MELAYU sedangkan agama lah yang perlu diperjuangkan. Ya, mungkin betul apa yang anda fikirkan. Tapi, siapa lagi yang akan perjuangkan agama ISLAM kalau bukan bangsa MELAYU itu sendiri. Bukan bangsa Cina dan bukan juga bangsa India. Kalau ada pun, berapa kerat sahaja yang bergelar mualaf yang akan perjuangkannya. Apabila isu ini diutarakan, jangan sesekali labelkan aku sebagai racist. Aku pejuang bangsa!Aku ada pendirian aku sendiri tanpa dipengaruhi pihak lain.Isu racist tidak seharusnya timbul.
    Aku malu apabila bangsaku berpecah-belah. Teringin melihat semua bangsaku bersatu di bawah satu payung yang sama. Tapi, aku pasti ini tidak akan terjadi andai semua pihak tidak mahu melepaskan ego masing-masing. Alasannya, perjuangan mereka yang berbeza. Aduhai bangsaku.....dimana kewarasan anda?
    Ada suara-suara yang mengatakan daripada parti A bergabung dengan parti B, lebih baik parti A bergabung dengan parti C. Alahai bangsaku....sanggup menjaja perjuangan dan matlamat yang menjadi wadah perjuangan selama ini semata-mata ego yang menebal. Sudah terang lagi bersuluh pihak yang satu itu menolak apa yang anda perjuangkan. Apa yang anda perjuangkan sebenarnya?Aku tidak sanggup agamaku tergadai kerana 'kepandaian' tindakan anda.
    Aduhai bangsaku....jangan kita persiakan masa depan bangsa, agama dan negara kita. Buangkanlah jauh-jauh sifat iri hati dan hasad dengki. Tanamkanlah sifat-sifat mahmudah dalam diri. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Hentikanlah segala tohmahan dan caci-maki.
    Buat bangsaku, janganlah menidakkan perkara yang terbukti benar. Terimalah hakikat dan redhailah segalanya. Sampai bila kita perlu mengotorkan hati dengan perbuatan yang sia-sia. Rasulullah tidak mengajar kita untuk bermusuhan sesama sendiri. Tanamkanlah rasa sayang dalam diri. Tegurlah secara berhemah andai ada kekhilafan di pihak yang lain. Rasulullah merupakan teladan yang baik kepada kita. Baginda tidak pernah marah jauh lagi berdendam dengan pihak yang memusuhi dan membenci Baginda. Baginda tetap tersenyum dan bersabar. Andai anda rasakan anda dizalimi, mohonlah pada Allah agar ditunjukkan kebenaranNya. Bukan berdoa meminta keburukan kepada pihak lain....Muhasabahlah diri kita sendiri.
    Maaf andai coretan aku menyinggung perasaan kalian. Aku ingin sampaikan apa yang terbuku dalam hati aku apabila melihatkan senario yang berlaku masa kini. Gunakanlah mata hati anda dalam menilai baik buruk sesuatu perkara dan buangkanlah keegoan yang menebal dalam diri. Tiada siapa yang mampu mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri....Segala yang baik datangnya daripada Allah, dan yang buruk itu berlaku daripada kekhilafan aku sendiri.Maafkan aku teman......

2 comments:

  1. super like sal!!
    mmg layak jd guru bahasa..
    huhu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha....lega rsa dapat luah sgala yg trpndam kt ati ni.coretan khas tok bgsaku n smoga mmbuka sdkit ksadaran dlam dri msg2..xkn mlayu hlang ddnia...(tiba2)hihihihi

      Delete