Sunday, 5 February 2012

SALAM MAULIDUR RASUL


Hari ini 12 Rabiul'awal 1433H, cuaca yang cukup tenang dan cerah. Hari ini merupakan hari lahirnya junjungan besar nabi kita iaitu, Nabi Muhammad SAW. Dalam kita menelusuri kehidupan Rasulullah SAW sejak daripada baginda dilahirkan sehinggalah baginda wafat, tak terbayang oleh kita terpujinya sifat Rasulullah SAW. Tidak mampu kita untuk menjadi sepertinya. Allah menjadikan baginda sebaik-baik umat yang tidak tertanding di dalam dunia ini. Betapa besarnya kasih sayang baginda kepada kita semua sehinggakan saat akhir kematiannya juga baginda tidak lekang menyebut 'ummati,ummati,ummati'.

          Terlalu besar pengorbanan baginda dalam memastikan seluruh umatnya bersatu dan menjadikan Islam sebagai pegangan hidup. Segala dugaan, tohmahan dan cacian baginda menerimanya dengan sabar dan tabah. Baginda tidak pernah marah jauh sekali untuk membalas dendam kepada orang yang berbuat jahat kepadanya. Baginda masih mampu tersenyum walaupun apa yang diperlakukan kepadanya sangat tidak boleh kita terima. Baginda pernah dilempar dengan pasir dan batu oleh orang-orang kafir sehingga badan baginda luka-luka. Jika kita diperlakukan seperti itu, apa yang akan kita lakukan?Subhanallah.......sucinya hatimu wahai Rasulullah.

          Kita sering menyangka bahawa telah terlalu banyak yang kita korbankan dalam hidup ini. Tanpa kita sedari sebenarnya pengorbanan yang kita lakukan adalah terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan Rasulullah SAW. Kepayahan yang kita terima adalah terlalu sedikit tetapi apabila kita ditimpa sesuatu bencana, cepat dan mudahnya kita berputus asa. Kita tidak terfikir bagaimana Rasulullah menangani segala ujian yang Allah berikan kepada baginda. Sifat baginda yang dipenuhi dengan amalan yang terpuji seharusnya kita jadikan contoh dan teladan dalam hidup kita. Memang benar kita tidak mampu menjadi seperti Rasulullah tetapi kita perlu mencuba menjadikan sebahagian hidup Rasulullah sebagai pegangan hidup kita supaya hidup kita dirahmati Ilahi. Banyak yang telah ditinggalkan baginda Rasulullah SAW kepada kita untuk dijadikan pegangan hidup agar tidak sesat di kemudian hari. Tetapi kita sebagai manusia biasa terlalu lemah sehingga kadang-kala kita menolak semua itu semata-mata mengejar kemanisan hidup di dunia yang sementara ini.

          Semoga kita menjadi insan yang bersyukur dan sama-sama kita memperbaiki diri kita untuk menjadi umat Muhammad yang sejati. Selawat atas junjungan nabi kita.....SALAM MAULIDUR RASUL.

          

No comments:

Post a Comment