Sunday, 1 September 2013

RAHSIA ALLAH

Sememangnya menjadi lumrah dalam kehidupan masyarakat kita yang suka mengambil 'berat' akan hal orang lain. Tidak dinafikan sikap keprihatinan ini penting untuk mengukuhkan ukhwah sesama masyarakat. Namun, sikap terlebih prihatin ini kadang-kala merimaskan orang lain. Lebih teruk, sikap terlebih prihatin ini kadang-kala mengguris hati dan perasaan orang lain. Bagi kita, mungkin kita berniat baik tetapi biarlah berpada-pada kerana kadang-kala, cara teguran kita tidak kena pada tempatnya.

         Jangan ditanya perkara yang menjadi rahsia Allah. Seolah-olah, kita menolak dan mempertikaikan qada' dan qadarNya. Setiap manusia sudah tentu menginginkan setiap apa yang diidamkan akan tercapai. Namun, tidak semuanya akan kita perolehi. Siapa kita untuk menolak takdir Allah?

         Jangan ditanya, "Eh, bila nak kahwin?". "Bila nak ada anak?". Bila nak itu, bila nak ini?Eh, siapa kita untuk tentukan semua itu terjadi?Jangan bertanya dan bercakap seolah-olah kita tiada akal untuk berfikir. Semua yang berlaku atas ketentuan Allah. Andai Dia berkata "Kun fa ya kun", maka jadilah ia. Andai tidak, kita sebagai hambaNya yang lemah dan hina perlu redha akan setiap ketentuanNya. Tiada siapa yang berkuasa menjadikan sesuatu melainkan hanya Dia sahaja. 

         Allah mempunyai sebab dan alasan mengapa sesuatu itu tidak terjadi. Hanya Dia yang mengetahui hikmah yang tersembunyi disebalik apa yang terjadi. Jangan sesekali mempersoalkan hakikat tersebut. Setiap ujian yang Allah berikan menjadikan hambaNya lebih redha dan sabar dalam menjalani kehidupan seharian. Allah menguji tanda sayangNya Dia kepada hambaNya. Kadang-kala kita sebagai hambaNya alpa dengan nikmat yang Dia berikan. 

“… dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), ALLAH jualah yang Maha Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah, ayat 216)

          Keyakinan penting dalam meneruskan hidup di bumi pinjaman Allah ini. Mungkin Allah tidak memberikan apa yang kita minta pada hari ini kerana Dia yang lebih tahu apa yang terbaik untuk kita pada hari ini. Barangkali Dia menjanjikan yang lebih baik pada masa akan datang. Sesungguhnya, Dialah sebaik-baik perancang.  Andai kita redha, insyaallah kemanisan itu pasti akan tiba.  Percayalah, di setiap kesulitan pasti ada kesenangan.

          Sebagai hamba yang bertakwa, selalulah bersyukur kepadaNya atas nikmat yang telah diberikan dan kita perlu ingat, segala nikmat di dunia hanya pinjaman semata-mata. Usah pertikaikan kenapa aku begini kenapa dia begitu. Setiap orang, rezekinya berbeza-beza. Yang penting, usaha, doa, tawakkal dan redha akan ketentuanNya. Positifkan diri dan yakin Allah mempunyai perancangan yang lebih baik untuk kita.......




No comments:

Post a Comment