Mencintai dan dicintai adalah dua perkara yang berbeza.
Mencintai seseorang tidak seindah seperti dicintai. Perasaan dicintai sudah
tentu membuatkan diri seseorang terbuai dengan satu perasaan halus yang sukar
untuk diungkapkan dengan kata-kata.
Lebih indah andai rasa dicintai seiring dengan rasa mencintai. Namun,
bukan cinta sesama insan yang ingin aku ketengahkan sebenarnya. Cinta kepada
ALLAH seharusnya diberikan keutamaan.
Aku
sedar, aku bukanlah hambaNya yang sempurna. Kadang-kala, aku juga sering alpa
dengan keindahan dunia. Banyak kekurangan yang aku perlu perbaiki. Andai
sehelai kain dapatku bentang sebagai pengganti banyaknya amalanku, sudah tentu
banyak lompang di sana sini. Namun, aku cuba sedikit demi sedikit untuk
memperbaiki kelemahan hidupku.
Insan
mana yang tidak mahu dicintai Sang Penciptanya? Sungguh beruntung insan-insan
yang dapat menjadi kekasih Allah SWT. Syurga Jannah sudah pasti menjadi
kediamannya kelak. Allahu Rabbi, bantulah aku dan berikanlah aku peluang untuk
menjadi kekasihMu Ya Allah.
Allah
tidak pernah menolak doa hamba yang benar-benar beriman kepadaNya. Lambat atau
cepat adalah kehendakNya jua kerana hanya Dia sebaik-baik perancang. Orang yang
penuh palitan dosa belum tentu neraka tempatnya kerana sedikit amal yang dilakukan
mungkin menjadi penimbang tara ke syurga, begitu juga sebaliknya. Yang menilai
adalah Allah, bukan di mata manusia. Namun, hijrah adalah sebaik-baik jalan
penyelamat. Sebagai hamba yang sering terleka, kita perlu sentiasa muhasabah
diri untuk berhijrah ke jalan kebaikan. Allah berfirman dalam Surah Annisaa’,
ayat ke 100 : “Barangsiapa berhijrah di
jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas
dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah
kepada Allah dan RasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke
tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya disisi Allah. Dan
adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Di
dalam Al-Quran sudah dijelaskan ganjaran yang Allah sediakan buat
hamba-hambaNya yang bertakwa. Sepertimana yang dijelaskan dalam Surah An Nahl,
ayat 31 : “(iaitu) syurga ‘Adn yang
mereka masuk ke dalamnya, mengalir di bawahnya sungai-sungai, di dalam syurga
itu mereka mendapat segala apa yang mereka kehendaki. Demikianlah Allah memberi
balasan kepada orang-orang yang bertakwa,”.
Sampai
bila kita perlu menzalimi diri sendiri? Tidakkah kita mahu merebut peluang
untuk menjadi kekasih yang sebenar-benarnya di sisi Allah?Namun, bagaimanakah
persediaan kita sebelum menemui Sang Pencipta?Kita adalah penentu neraca hidup
kita di akhirat kelak, bukan sesiapa. Semoga kita berasa nikmat mencintai dan
dicintai Yang Maha Esa. Allah menjanjikan syafaat yang amat besar buat hamba
yang tidak pernah melupakanNya…..Wallahualam…..
No comments:
Post a Comment