Tiba-tiba teringat tentang nenek. NENEK. Mungkin bagi sesetengah orang tiada yang istimewa dapat dikongsikan tentang nenek. Tapi, bagi aku ada satu cerita yang menarik tentang nenek yang ingin dikongsikan.
NENEK.... Ibu kepada ayah atau ibu kita. Apabila disebut tentang nenek, terbayang dibenak kita seorang wanita tua yang berkedut wajahnya dan rambut beruban. WO... Itulah panggilan kami buat nenek. WO amat istimewa di mata kami kerana sehingga ke hari ini kami tidak henti-henti bercerita kisah tentangnya jika teringatkannya.
Setiap kali aku pulang dari sekolah, WO akan setia menanti di muka pintu rumahnya walaupun aku tinggal bersama mak dan ayah di hujung kampung. Kadang-kadang, dia tertidur di muka pintu. Mungkin kebosanan kerana keseorangan di rumah. Di atas meja di ruang tamu serambi rumah, pasti telah tersedia milo panas dan jemput-jemput. Kadang-kadang jika kehabisan susu, WO akan sediakan air milo kosong atau teh. Sebelum balik ke rumah mak dan ayah, aku akan makan dahulu apa yang telah dihidangkan. Sambil makan, WO akan bercerita apa yang berlaku pada hari itu. Satu perkara yang tidak boleh dipisahkan dengan WO yang kami akan ingat sehingga ke hari ini ialah keenakan nasi gorengnya. Nasi goreng yang WO buat memang sedap dan tiada bandingannya dengan mana- mana tempat. Setiap petang apabila kami mengambil WO untuk tidur di rumah kami, pasti ada bekalan yang dibawa untuk kami. WO akan tersenyum apabila melihat cucu-cucunya berselera menikmati nasi gorengnya. (Memang sedap woooooo!!!!!Hingga menjilat jari tau.huhuhuhu)
Satu hari semasa aku pulang dari sekolah, ku lihat WO di rumah saudaraku dan ramai orang disitu. Rupanya Wo telah diragut. Habis rantai emas WO direntap peragut. Mujur, WO selamat dan tiada kecederaan serius. (Cuma leher je melecet siket). Nasib WO memang tak baik hari itu.
Kalau aku tidak singgah ke rumah WO selepas pulang dari sekolah, WO pasti akan bertanya, "tak sekolah ke hari ni?".hehehehe... "sekolah la, tadi naik prebet sapu terus sampai rumah sebab dah petang sangat", jawabku. Aku balik lambat pun sebab ada kelas tambahan.
Satu ketika, WO jatuh sakit. Mula-mula, kami kesan apabila terlihat mulutnya tiba-tiba menjadi senget. Aku orang yang mula-mula perasan akan keadaan itu terasa mengelabah. Terus panggil ayah. Ayah tanya pada WO samaada dia ok atau tak. Tapi, yang herannya, WO cakap OK. sejak tu, WO mula tak boleh menahan kencing. Kadang-kadang, aku dan kak ngah akan mengelap air kencing yang meleleh di lantai. Apabila keadaan WO mula bertambah teruk, aku dan kak ngah akan bergilir-gilir menguruskan WO. WO kami pakaikan pampers. Mula-mula, WO tak mahu dipakaikan pampers mungkin sebab segan. Kalau pakai pun, dia nak pakai sendiri. Tapi, kami tak pernah mengabaikan WO. Walaupun dimarah, (sebab nak pakai pampers sendiri) kami tetap sabar menguruskan dirinya. Setiap pagi, kami akan mengangkat WO ke bilik air untuk mandi dan membersihkan diri. Rambutnya kami syampu dan badannya akan disabun sehingga wangi. Untuk memudahkan kami menguruskannya dan untuk keselesaannya juga, rambutnya telah dipotong pendek.
Aku masih ingat lagi, semasa keadaannya belum bertambah teruk, kulihat dia termenung di atas kerusi malas. Apabila ditanya, dia menjawab dia nak mati. Lantas meminta untuk dipakaikan barang kemasnya. Setelah keadaannya teruk, dia sendiri yang menanggalkan barang kemas tersebut. WO juga teringin untuk makan hati ayam dan buah ciku. Alhamdulillah, hajatnya untuk makan hati ayam yang digoreng dapat ditunaikan. Namun, hajatnya untuk makan buah ciku tidak tertunai memandangkan pada ketika itu, tiada musim buah ciku.
WO mula ternampak bayangan-bayangan orang yang telah pergi yang mempunyai ikatan dengannya. Kami mula jadi takut kerana kami tahu, WO akan pergi meninggalkan kami. Saat itu, satu persatu anggota badan WO mulai lumpuh bermula daripada kakinya. Yang terakhir, suara WO telah disekat. Tiada lagi komunikasi antara kami.
Pada malam itu, saat aku sedang menelaah pelajaran, (memandangkan SPM semakin hampir) kulihat nafas WO seakan tersekat. Mula-mula, aku ingatkan WO haus. Lalu kusuapkan air ke bibirnya. Namun, keadaannya kulihat seakan-akan sedang bertarung nyawa. Kupanggil ayah dan kami semua mengelilingi WO. Ucapan kalimah syahadah dititipkan di telinga WO. Saat itu, WO pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Bercucuran airmata kami.
Namun, syukur Alhamdulillah kerana kurang rasa terkilan di hatiku kerana aku sempat berbakti untuk WO dalam menguruskan dirinya. Walaupun sudah 10 tahun WO meninggalkan kami, kenangan bersamanya masih segar dalam ingatan. Aku bertuah memiliki seorang nenek yang tidak pernah lokek dan sangat menyayangi kami. Semoga roh WO ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang dikasihi ILAHI.Amin ya rabbal a'lamin.......
No comments:
Post a Comment