Hidup ibarat sebuah pelayaran. Dunianya umpama lautan. Ada gelombang yang menanti pelayarnya. Pelayarnya diumpamakan seperti kita, MANUSIA iaitu khalifah yang diciptakan ILAHI yang dikurniakan akal untuk menilai baik buruk sesuatu perkara. Kadang-kala kita sebagai khalifah lupa akan peranan dan tanggungjawab kita di atas muka bumi Allah ini. Kita terlalu alpa dengan keasyikan dunia sehingga hanya menumpukan perkara duniawi semata-mata. Alam akhirat kita tolak ke tepi seolah-olah ianya hanya dunia sementara sedangkan kita mengagungkan dunia yang fana ini.
Berbalik kepada persoalan utama, kita sebagai pelayar seharusnya bijak mengemudi kapal kita agar ia tidak hanyut ditolak arus dan tidak pecah dihempas gelora. Kesabaran dan kebijaksanaan harus digunakan bagi mengawal kapal kita. Silap percaturan, maka karamlah kapal yang dikemudi. Mungkin juga kita tidak akan sampai ke pelabuhan. Andai ini terjadi, hancurlah harapan orang yang menanti di pelabuhan tersebut. Sanggupkah kita membiarkan ini terjadi?Tidakkah ada rasa kesal di hati kita?
Seharusnya, badai gelora yang menghempas kita harungi dengan sabar dan tabah. Jangan sesekali kita berputus asa. Selagi kudrat masih ada, bersabarlah dan teruskan pelayaran tersebut. Pastikan kita akan jejak ke pelabuhannya. Yakinlah bahawa pasti kejayaan menjadi milik kita. Jangan biarkan jasad kita terkubur di lautan tanpa sebarang petanda.
Begitulah yang boleh diumpakan dengan hidup kita sebenarnya. Lautan itu ibarat dunia kehidupan kita. Pelayarnya ialah kita sendiri sementara badai gelora diibaratkan dengan segala ujian dan dugaan yang diturunkan Allah buat kita. Andai bijak kita mengatur hidup kita, maka kejayaan pasti dikecapi. Itulah yang diumpamakan dengan pelabuhan.
Rasulullah s.a.w., telah mengingatkan umatnya mengenai kehidupan dunia dengan hadis yang berikut:
137-
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ
خَضِرَةٌ وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا فَيَنْظُرُ كَيْفَ
تَعْمَلُونَ فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ فَإِنَّ أَوَّلَ
فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ. (مسلم)
137- Dari Abu Said
al-Khudri, r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Sesungguhnya
dunia ini manis dan indah dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu
wakil menguruskan apa yang ada padanya, maka dengan itu ia
sentiasa memerhati bagaimana cara kamu menjalankan urusan itu; oleh itu
hendaklah kamu menjaga diri dari keburukan yang disebabkan oleh dunia,
dan khasnya oleh perempuan, kerana sesungguhnya fitnah yang mula-mula
menimpa kaum Bani Israel adalah berpunca dari orang-orang perempuan."
Maka dengan itu, gunakanlah kebijaksanaan kita dengan sebaik-baiknya agar hidup kita mendapat rahmat Ilahi.......


No comments:
Post a Comment