Saturday, 31 December 2011

~WELCOME 2012~

Tinggal beberapa saat lagi tirai 2011 akan dilabuhkan. Mahu tidak mahu tirai 2012 perlu dibuka mengambil alih tempat 2011. Terlalu banyak suka duka sepanjang 2011. Alhamdulillah, dengan izinNya aku mampu mengharungi semua dugaan dan rintangan yang telah direncanakan oleh Allah SWT, Tuhan pencipta alam. Berkat kekuatan yang diberikan menjadi suntikan semangat untuk menghadapi pancaroba 2012. Tiada sekelumit kesesalan di dalam diri. Cuma, yang diharapkan semangat untuk terus berjuang. BERPERANG barangkali. Yup! Berperang untuk hidup kerana hidup ibarat perjuangan. Semakin maju dunia, semakin kuat kita perlu berjuang. Banyak lagi yang kita perlu hadapi. Kita tidak tahu apa yang menanti kita di hadapan. Kita perlu berjalan dan terus berjalan. Sehingga satu saat, kita akan temui kesukaran. Allah tidak menjadikan jalan itu lurus sentiasa. Setelah puas kita berjalan, kita akan berasa hampa kerana perlu membuat pilihan lorong di hadapan kita. Ke kiri atau ke kanan? Salah pilihan kita, kitalah yang akan menanggungnya. Seandainya benar pilihan kita, syukur Ahamdulillah. Namun, harus diingat. Seandainya kita telah memilih lorong yang salah, jangan sesekali putus harap. Sabar dan patah semula ke pangkal jalan. Berjalan dan terus berjalan sehingga kita berjaya memilih lorong yang betul. Insyaallah, Allah tidak akan sesekali mensia-siakan hambaNya.


          Bila difikirkan 2011 bakal berakhir dan tidak mungkin akan kembali lagi, terfikirkah kita apa yang telah kita sumbangkan dalam kehidupan kita sepanjang 12 bulan tersebut?Adakah masa berlalu begitu sahaja?Sepertimana yang disebut dalam surah A-'Asr yang bermaksud : "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." Rugikah kita?Wallahualam.....

         Menjelmanya 2012 bermaksud bermulanya buku baru. Buku yang lama, kita tutup dan boleh dibuka sesekali sebagai rujukan buat kita agar tidak mengulangi kesilapan yang serupa. Permulaan buku baru perlu dimulakan dengan lafaz Bismillah dan doa semoga coretan yang bakal memenuhi buku tersebut memberi manfaat yang berguna sepanjang 12 bulan tersebut. Tapi, sudah pasti permulaan tahun baru akan dilakari dengan penyakit sosial yang semakin sukar untuk dikawal. Sudah pasti esok di dada akhbar akan ada berita yang menjengkelkan mengenai generasi masa kini. Ditangkap khalwat, merempit, pesta dadah, seks dan bermacam-macam lagi akan menjadi habuan coretan para wartawan. Jika permulaan coretan telah dicalar dengan tinta hitam yang merosakkan, apa pula yang bakal berlaku untuk tempoh masa seterusnya?Sama-samalah kita fikirkan. 
         Menyambut tahun baru tidak salah. Tetapi kadang-kala cara kita menyambutnya yang salah. Asal tahun baru mesti perlu ada konsert. Mati ke kalau tidak dibuat konsert tu?Apa manfaat yang kita dapat? Sekadar hiburan. Yup!betul. Tapi, disebabkan terlalu banyak hiburan lah anak-anak muda kita hanyut dengan dunia yang dicipta sendiri. Dengan hiburan, generasi kita terlalu leka dengan nikmat dunia. Saya tidak menolak hiburan, cuma jelik dengan orang yang sangat taksub dengan hiburan. 

        Hidup kita umpama pohon. Akar yang menjadi tunjang kekuatan kita. Rosak akar, rosak la seluruh pohon. Akar itu adalah iman kita. Bajailah ia dengan amal dan kebaikan agar seluruh hidup kita bermakna. Renung-renungkan dan selamat beramal. Semoga 2012 memberi sinar bahagia buat kita semua. Salam.......


      

No comments:

Post a Comment