Pepatah melayu ada mengatakan, lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Orang-orang zaman dahulu amat bijak dalam mencipta madah dan kata-kata hikmat dengan mengaitkan keadaan alam sekeliling. Kadang-kadang tak terjangkau dek akal fikiran kita.
Berbalik kepada peribahasa yang disebut tadi, tidak kita nafikan sifat manusia yang suka menabur janji tanpa berfikir terlebih dahulu. Sang mulut dengan begitu yakin berjanji sedangkan kita belum pasti dapat menunaikannya. Sudahnya, bukan diri sendiri sahaja yang menanggung impaknya bahkan orang sekeliling juga hingga tanpa sedar ada hati yang terluka.
Dalam Islam sendiri, ditegaskan andai ingin melakukan sesuatu, memadailah dengan menyebut insyaAllah kerana setiap yang berlaku adalah dengan izin Allah. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari. Jangan sesekali berjanji andai ianya belum pasti kerana disebabkan pulut, santan binasa; disebabkan mulut, badan binasa. Akhirnya nanti, siapa pula yang akan dijadikan kambing hitam untuk dipersalahkan? Jangan sudah terhantuk, baru hendak terngadah.
Janji bukan sekadar janji kerana ada janji yang dibawa sehingga mati. Mungkin ianya nampak remeh untuk sesetengah orang, tapi apabila kita telah berjanji bermakna kita telah mengikat seseorang dengan suatu keputusan yang bulat dan tekad. Tidakkah kita terfikir andai suatu hari kita tidak dapat menunaikan janji yang telah dibuat, pandangan serong akan dilontarkan kepada kita. Tiba masanya, barulah kita terpekik terlolong menyalahkan orang lain.
Orang yang memungkiri janji adalah sebahagian daripada golongan munafik. Dan tahukah anda, dosa orang yang munafik adalah lebih buruk daripada dosa membunuh? Allah telah berfirman dalam surah Annisa', ayat 145 yang bermaksud :" Sesungguhnya orang- orang munafik itu ditempatkan pada jurang neraka yang paling dalam."
Akhirul kalam, menunaikan janji adalah wajib. Jangan sesekali berjanji andai diri belum pasti dapat menunaikannya. Nampak mudah tapi besar impaknya kepada diri, keluarga dan masyarakat. Aku juga insan biasa yang tak lari daripada kekhilafan namun, kita wajib berpesan-pesan. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda; "sampaikanlah pesanku walau hanya sepotong ayat". Yang baik itu datangnya daripada Allah, yang buruk datangnya daripada khilafku sendiri.
No comments:
Post a Comment