Thursday, 12 December 2013

EPISOD KEHIDUPAN : TENTANG EMAK

Walau apa jua panggilan sama ada Mak, Mama, Mommy, Ibu, Ummi semuanya membawa satu maksud yang sama. Insan yang mengandungkan dan melahirkan kita selama 9 bulan 10 hari walau ada yang kurang daripada itu.

MAK.......
Terbayang di ruang mata wajah ibu yang telah banyak berkorban masa, tenaga dan segala-galanya untuk memenuhi keperluan aku sebagai seorang anak. Daripada aku kecil sehinggalah meningkat dewasa seterusnya mendirikan rumah tangga. Walaupun semasa kecil pernah hatiku terdetik bahawa mak kurang memberikan perhatian dan kasih sayangnya buatku kerana lebihkan adik bongsuku.(jeles tau....)

Mak sememangnya kurang menunjukkan rasa kasih sayangnya kepada anak-anak. Wajah mak yang kurang 'mesra alam' semestinya akan memberikan tanggapan berbeza daripada orang yang baru dikenali. Mak kurang bercakap dengan orang yang tidak dikenali. Kata orang, tak kenal maka tak cinta.......

Banyak pengorbanan mak untuk kami. Tidak terbalas dengan wang ringgit yang diberikan....Walau kadang aku tahu hatinya terluka, tapi mak jarang menunjukkan riak sedih diwajahnya. Mak sembunyikan kesedihan yang dirasai demi menjaga perasaan anak-anak. Mak sentiasa menjadi tulang belakang keluarga kami setelah peninggalan arwah ayah. Aku bersyukur mak masih mampu mengharungi setiap dugaan yang mendatang dan mampu membiayai pengajianku sehingga tamat tanpa mengharapkan ihsan daripada orang lain. Aku bangga dengan semangat mak. Tanpa pengorbanan mak, tidak mungkin aku berada di tahap sekarang. Terima kasih, mak!

Mak tidak pernah masuk campur hal anak-anak. Segala keputusan anak-anak disokong dan direstu asalkan kena dengan caranya. Tidak ada paksaan dalam menentukan hala tuju hidup anak-anak. Mak tidak pernah menetapkan apa-apa syarat kepada anak-anak. Kami memberi setakat yang termampu. Tidak sedikitpun mak merungut dengan hasil yang kami berikan. Mak menerima setiap pemberian anak-anak seadanya. 

Kadang-kadang aku terfikir, kenapa ada sesetengah ibu bapa yang sanggup mengenakan syarat kepada anak-anak. Ada yang menetapkan sebanyak sekian-sekian yang perlu diberikan setiap bulan. Kadang-kadang sesetengah ibu bapa sebegini tidak memikirkan keadaan anak-anak mereka. Yang mereka tahu, kemahuan mereka dituruti. Sememangnya anak-anak wajib mentaati ibu bapa mereka. Tetapi sebagai ibu bapa, apa salahnya kita memahami dan menyelami perasaan anak-anak. 

Setelah kematian ayah semasa aku berada di semester dua, mak yang bersusah-payah untuk kami. Walaupun mak tidak bekerja tetapi Alhamdulillah, rezeki tidak pernah putus. Aku berjaya menamatkan pengajianku selama empat tahun dengan sedikit sebanyak pembiayaan daripada mak. Walaupun aku mendapat pinjaman PTPTN, tetapi kursus yang diambil memerlukan kos yang lebih besar. Alhamdulillah, mak, kakak dan abang sudi membantu. Syukur padaMu Ya Allah, kerana mengurniakan aku keluarga yang amat-amat memahami....

Aku bangga punyai seorang mak yang bukan sahaja tabah tapi punyai semangat waja. Mak merupakan semangat kami dalam meneruskan hidup. Mak tak pernah menyalahkan anak-anak walau aku tahu kadang hatinya terluka dengan sikap dan tindakan anak-anak. Mak tak pernah gunakan kuasa veto yang ada. Apa pun keputusan anak-anak, mak terima dengan hati yang redha.

Satu lagi sifat mak, tak pernah rasa iri hati dengan orang lain. Tak pernah nak membezakan apa yang orang lain dapat daripada anak-anak mereka dan tak pernah nak menunjuk apa yang mak ada. Semua rezeki datang daripada Allah. Setiap tahun, insyaallah kami meraikan ulang tahun kelahiran mak. Kami adik beradik bersama-sama memasak untuk majlis kecil yang diadakan untuk mak. Itu sebahagian usaha kami untuk membalas setiap pengorbanan mak. Kami tahu mak pasti seronok dengan apa yang telah kami lakukan lebih-lebih lagi kami menjemput beberapa jiran yang terdekat untuk sama-sama meraikannya.

Walau apapun yang telah kami lakukan, aku tahu ianya masih tidak mampu membalas segala jasa mak. Walau seluas lautan harta dan wang ringgit yang kami taburkan, tidak mampu menyaingi semua pengorbanan mak kepada kami. Mak satu-satunya ibu yang kami ada dan kasih sayangnya membawa sehingga ke syurga. Aku bersyukur dan sangat bersyukur dikurniakan ibu yang sangat hebat. Mak anugerah yang tidak ternilai buat kami.

Kepada semua anak, hargailah dan sayangilah ibu anda. Seandainya tiada mereka, maka tiada jugalah kita di atas bumi Allah ini. Jangan sesekali abaikan ibu kita yang banyak berjasa untuk anak-anak. Kepada golongan ibu juga, janganlah kita gunakan kuasa kita sebagai seorang ibu untuk menyumpah anak-anak. Sesungguhnya, kata-kata daripada seorang ibu itu adalah suatu doa. Jadilah kawan untuk anak-anak dan selamilah hati mereka juga. Sekian......

No comments:

Post a Comment