Monday, 2 December 2013

KERANA MULUT

~Kerana pulut santan binasa, kerana MULUT badan binasa....~

Pepatah tersebut tidak akan timbul tanpa sesuatu cerita. Kali ni aku nak kongsikan tentang akibat M.U.L.U.T. Kadang-kadang, aku akui mulut aku pun tak ada insurans jugak.hihihi....
       Benarlah kata pepatah, lidah tidak bertulang. Namun, yang tidak bertulang inilah mampu menjadi senjata yang paling tajam yang mampu menghiris hati dan perasaan orang lain. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. 
       Kadang-kala, ada di antara kita yang bersifat bermuka-muka. Di hadapan kita, punyalah manis berkata-kata. Bak kata, pijak semut pun tak mati. Tapi apabila di belakang kita, bukan main nak tersimpul segala urat lidah dok menganyam ketupat buat bekalan ke neraka. Nauzubillah.....Lebih teruk, semanis rasa dok menambah cerita yang tidak ada. Yang ni, memang boleh mendatangkan kemarahan!!!
       Ada juga pembawa mulut ini datangnya daripada darah daging sendiri. Tanpa rasa malu dan segan, dengan bangganya menjaja perihal isi rumah tangga kepada orang lain. Tanpa sedar, adik, kakak, abang, anak, suami dan isteri menjadi mangsa umpatan dan kejian. Tanpa rasa bersalah, maruah mereka dipijak-dipijak. Sedikit pun mereka tidak sedar impak yang akan diterima di kemudian hari. Ibarat meludah ke langit, akhirnya jatuh ke muka sendiri. Akhirnya, aib sendiri yang jelas terbuka dan ternganga....Yang peliknya, tidakkah mereka berasa malu membuka aib keluarga sendiri. Bukankah sepatutnya aib mereka disimpan ketat jangan sampai terbuka kepada orang luar?Di mana agaknya kewarasan akal mereka ketika itu? Lebih perit, ada yang sanggup menokok tambah cerita yang tidak ada buat penambah perasa penyedap cerita. 
       Tanpa kita sedar, akibat perbuatan kita banyak mendatangkan kerosakan bukan sahaja kepada diri kita malah keluarga dan masyarakat juga. Kita asyik menjaja kisah peribadi orang lain tanpa sedar kita juga sudah membuka aib kita sendiri. Bukan semua orang yang suka mendengar kita asyik bercerita tentang keaiban orang lain. Ada juga yang memandang jelek perbuatan kita yang terang-terang menjatuhkan maruah orang lain. Jangan kita sibuk menjaga tepi kain orang kerana tanpa sedar kain kita sendiri sudah besar berlubang.
       Kadang-kala kita berasa bangga menyebarkan sesuatu berita yang kita sendiri tidak pasti sejauh mana kebenarannya. Banyak akibat buruk yang menanti. Andai kita ketahui sedikit keburukan orang lain, simpankan ia agar tidak disebar kepada orang lain kerana bimbang mampu menjadi fitnah dalam masyarakat. Bukankah kita disuruh untuk menutup keaiban saudara seagama kita? Allah swt berfirman dalam Surah Al Hujarat Ayat 12 bermaksud: " Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."
       Rasulullah juga pernah bersabda bahawa : “Wahai golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan janganlah mengintip keaiban mereka, maka barang siapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya dan siapa yang diintip Allah akan keaibannya maka Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya.”
       Setiap manusia tidak sempurna dan tidak lari daripada melakukan kesilapan. Sebelum berkata-kata perihal orang lain, cermin diri kita sendiri. Lihat sejauh mana keimanan kita kepada Allah dan nilaikan sendiri berapa kebaikan yang telah kita buat dalam kehidupan seharian kita. Terimalah setiap teguran dengan hati yang terbuka. Lapangkan hati dan bersihkanlah rohani kita. Jangan biarkan syaitan merajai hati dan perasaan. Suburkan iman, maniskan senyuman....

No comments:

Post a Comment