Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana masih diberikan kesempatan untuk bernafas di atas muka bumiNya yang luas ini dan hari ini, kita bertemu lagi dengan hari Jumaat. Apa ada pada hari Jumaat?
Jumaat merupakan hari yang sungguh mulia yang mempunyai banyak fadhilatnya. Saya percaya ramai yang mengetahui fadhilat Jumaat. Banyak peristiwa yang berlaku pada hari Jumaat. Pertama, ia merupakan hari Nabi Adam dijadikan dan pada Jumaat juga dia telah dikeluarkan dari syurga lalu dicampakkan ke bumi setelah ingkar dengan arahan Allah akibat memakan buah khuldi. Selain itu, beberapa Nabi juga telah berkahwin pada hari Jumaat. Pertama, perkahwinan Nabi Adam dengan Hawa; Nabi Yusuf dengan Zulaikha; Nabi Musa dengan Safura binti Syuaib; dan begitu juga dengan Rasulullah SAW dengan Khadijah. (sebab tu saya pun mengambil berkat hari Jumaat untuk diijabkabulkan)
Menurut hadis Riwayat Muslim, kiamat juga akan berlaku pada hari Jumaat. "Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya."
Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat."
“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmizi).
Jumaat merupakan penghulu kepada semua hari. Pada hari ini seluruh kaum Adam diwajibkan mengerjakan solat Jumaat. Tapi, saya percaya masih ramai kaum Adam yang ambil ringan mengenai solat Jumaat. Kadangkala, ada kaum Adam yang hanya bersolat Jumaat sahaja namun, solat lima waktu entah ke mana. Nauzubillah....Pada hari ini sepatutnya semua kaum Adam mengambil peluang untuk memenuhi rumah ibadah kerana saya yakin pada hari-hari biasa kita kurang berkesempatan untuk beribadah di rumah Allah. Kaum Adam patut merebut peluang ini kerana doa pada hari ini adalah mustajab, Insyaallah......
Hari Jumaat juga merupakan hari yang paling mulia, lebih mulia dari hari raya Aidilfitri ataupun hari raya Aidiladha. Jadi, kita digalakkan untuk banyakkan berdoa, berselawat, beristighfar dan sebagainya (yang baik-baik aje) pada hari ini. Insyaallah, segala amalan kita pada hari ini lebih mudah untuk 'sampai' kepada Allah SWT.
Sesungguhnya, banyak lagi manfaat yang mampu kita peroleh pada hari yang mulia ini. Sama-samalah kita mencari dan menghayatinya demi mengharapkan rahmat dan keredhaan Ilahi. Hanya ini yang termampu saya kongsikan untuk hari ini. Kita perlu berusaha untuk mencari keredhaanNya kerana kita belum tentu akan bertemu dengan Jumaat lagi pada akan datang. Barangkali, hari ini adalah Jumaat yang terakhir buat kita. Allah pengatur alam ini dan hanya Dia yang Maha Mengetahui setiap kejadian yang dilangit dan juga yang di bumi. Wallahualam......


No comments:
Post a Comment