Batang kelapa dijadikan titi,
Untuk menyeberang ke Pekan Rokan,
Tibalah masa penyatuan dua hati,
27 haribulan 5 tarikh pilihan.
Tebu diproses menjadi gula,
Pisang berangan dimasak pengat,
Selepas Isyak majlis bermula,
Mengambil berkat hari Jumaat.
Pergi mengail di Tanjung Lebar,
Sampan karam terlanggar tunggul,
Jantung berdetak hati berdebar,
Menanti lafaz ijab dan kabul.
Harum mewangi si bunga melati,
Tidak terlawan bauan kasturi,
Lega sudah rasanya hati,
Sekali lafaz menjadi isteri.
Pergi ke pekan membeli rokan,
Rokan tiada ketam dicari,
Silver+pink menjadi pilihan,
Pelengkap gaya raja sehari.
Asam pedas ikan tenggiri,
Makan bersama ulam pegaga,
Semua hantaran digubah sendiri,
Ramai yang lihat tidak percaya.
Pergi mengail bersama Azmi,
Dapat seekor ikan kelah,
Selesai sudah majlis kami,
Alhamdulillah syukur kepada Allah.
Zamrud, permata, intan, berlian,
Menjadi idaman setiap insan,
Terima kasih saya ucapkan,
Kepada semua yang sudi meraikan.
Termeterai sudah ikatan janji,
Bebas dari alam khayalan,
Doa dipanjatkan kepada Ilahi,
Semoga bahagia kekal berpanjangan.




No comments:
Post a Comment