Thursday, 26 December 2013

LUMRAH...

Lumrah HIDUP,
Apabila kau susah tiada siapa yang peduli
Mak, ayah, adik, kakak dan abang semua menyepi
Apatah lagi datuk, nenek, pakcik dan makcik.

Lumrah MANUSIA,
Apabila kau senang semua datang mendekat
Mak, ayah, adik, kakak dan abang semua datang merapat
Saudara jauh mengaku saudara dekat.

Lumrah DUNIA,
Apabila kau dikeliling kesenangan
Kau lupa pada Tuhan
Tatkala kau dihimpit ujian
Orang lain yang kau salahkan.

Semuanya sudah lumrah,
Silap sendiri tak pernah kau akui
Nasihat orang tak pernah kau peduli
Kau menjunjung ego yang tinggi
Konon kau perlu dihormati
Orang lain sesuka kau hina dan caci.

Lumrah,
Semuanya sudah menjadi lumrah
Kau hidup bermuka-muka
Kau lupa dosa pahala
Kau lupa adanya syurga dan neraka
Kau lupa pada Sang Pencipta
Solat kau tak pernah tinggal
Zikir sekalipun tak pernah gagal
Sesekali kau gunakanlah akal
Jangan kau lupa pada Raqib dan Atid
Yang sentiasa mencatat setiap amal
Baik buruk kau yang tentukan.

Manusia, Hidup dan Dunia,
Semuanya bersatu
Kaulah menjadi penentu....


Wednesday, 18 December 2013

MANUSIA OH MANUSIA...

Kehidupan ini ibarat pusingan roda. Kadang kita di atas dan kadang kita di bawah. Apabila kita berada di puncak, janganlah kita meninggi diri dan memandang rendah orang yang sedang berada di bawah. Kita perlu ingat, kita berada di atas adalah disebabkan kesanggupan orang di bawah untuk mengangkat kita supaya berada di atas.

Hari ini mungkin kita bernasib baik. Tetapi kita jangan sesekali lupa bahawa Allah adalah perancang utama dalam kehidupan sekalian alam. Allah berkuasa menarik semula nikmat yang telah dikurniakan buat kita. Jangan sesekali kita takbur dengan nikmat yang sementara kerana kehidupan di dunia ini hanyalah sementara yang menjadi jambatan untuk kita menuju ke syurga.

Ada manusia mudah lupa diri dan pentingkan hidupnya sendiri. Hidup asal lepas tekak sendiri. Langsung tidak memikirkan hal orang lain lebih-lebih lagi orang yang telah banyak berjasa kepada mereka. Kadang-kadang lidah laju menuturkan kata yang boleh menyinggung perasaan orang lain. Tanpa disedari, ada pihak yang makan hati.

Ada pula manusia yang sangat berkira. Sangat lokek untuk mengeluarkan perbelanjaan walhal kadang-kala untuk hidupnya sendiri. Orang lain pula yang diharap untuk mengurus kehidupannya sedangkan dia mampu berdikari.

Ada juga manusia yang suka 'menceceh'. Sekali kebaikannya diberi, bertahun-tahun sibuk mencanang sana sini. Orang lain dipandang sebelah mata konon dialah yang baik segala. Di hadapan orang tunjuk dialah perwira sedangkan hidupnya penuh sandiwara.

Allah bagi dugaan kepada manusia untuk menguji tahap keiman mereka kepadaNya. Tetapi ada manusia yang masih buta hatinya untuk menilai. Walaupun diri hebat diuji tetapi masih tidak sedar diri. Entah..... semoga golongan ini disucikan hatinya. Aku juga insan yang sering terkhilaf. Ampunkan kami Ya Rabbi.....

Thursday, 12 December 2013

EPISOD KEHIDUPAN : TENTANG EMAK

Walau apa jua panggilan sama ada Mak, Mama, Mommy, Ibu, Ummi semuanya membawa satu maksud yang sama. Insan yang mengandungkan dan melahirkan kita selama 9 bulan 10 hari walau ada yang kurang daripada itu.

MAK.......
Terbayang di ruang mata wajah ibu yang telah banyak berkorban masa, tenaga dan segala-galanya untuk memenuhi keperluan aku sebagai seorang anak. Daripada aku kecil sehinggalah meningkat dewasa seterusnya mendirikan rumah tangga. Walaupun semasa kecil pernah hatiku terdetik bahawa mak kurang memberikan perhatian dan kasih sayangnya buatku kerana lebihkan adik bongsuku.(jeles tau....)

Mak sememangnya kurang menunjukkan rasa kasih sayangnya kepada anak-anak. Wajah mak yang kurang 'mesra alam' semestinya akan memberikan tanggapan berbeza daripada orang yang baru dikenali. Mak kurang bercakap dengan orang yang tidak dikenali. Kata orang, tak kenal maka tak cinta.......

Banyak pengorbanan mak untuk kami. Tidak terbalas dengan wang ringgit yang diberikan....Walau kadang aku tahu hatinya terluka, tapi mak jarang menunjukkan riak sedih diwajahnya. Mak sembunyikan kesedihan yang dirasai demi menjaga perasaan anak-anak. Mak sentiasa menjadi tulang belakang keluarga kami setelah peninggalan arwah ayah. Aku bersyukur mak masih mampu mengharungi setiap dugaan yang mendatang dan mampu membiayai pengajianku sehingga tamat tanpa mengharapkan ihsan daripada orang lain. Aku bangga dengan semangat mak. Tanpa pengorbanan mak, tidak mungkin aku berada di tahap sekarang. Terima kasih, mak!

Mak tidak pernah masuk campur hal anak-anak. Segala keputusan anak-anak disokong dan direstu asalkan kena dengan caranya. Tidak ada paksaan dalam menentukan hala tuju hidup anak-anak. Mak tidak pernah menetapkan apa-apa syarat kepada anak-anak. Kami memberi setakat yang termampu. Tidak sedikitpun mak merungut dengan hasil yang kami berikan. Mak menerima setiap pemberian anak-anak seadanya. 

Kadang-kadang aku terfikir, kenapa ada sesetengah ibu bapa yang sanggup mengenakan syarat kepada anak-anak. Ada yang menetapkan sebanyak sekian-sekian yang perlu diberikan setiap bulan. Kadang-kadang sesetengah ibu bapa sebegini tidak memikirkan keadaan anak-anak mereka. Yang mereka tahu, kemahuan mereka dituruti. Sememangnya anak-anak wajib mentaati ibu bapa mereka. Tetapi sebagai ibu bapa, apa salahnya kita memahami dan menyelami perasaan anak-anak. 

Setelah kematian ayah semasa aku berada di semester dua, mak yang bersusah-payah untuk kami. Walaupun mak tidak bekerja tetapi Alhamdulillah, rezeki tidak pernah putus. Aku berjaya menamatkan pengajianku selama empat tahun dengan sedikit sebanyak pembiayaan daripada mak. Walaupun aku mendapat pinjaman PTPTN, tetapi kursus yang diambil memerlukan kos yang lebih besar. Alhamdulillah, mak, kakak dan abang sudi membantu. Syukur padaMu Ya Allah, kerana mengurniakan aku keluarga yang amat-amat memahami....

Aku bangga punyai seorang mak yang bukan sahaja tabah tapi punyai semangat waja. Mak merupakan semangat kami dalam meneruskan hidup. Mak tak pernah menyalahkan anak-anak walau aku tahu kadang hatinya terluka dengan sikap dan tindakan anak-anak. Mak tak pernah gunakan kuasa veto yang ada. Apa pun keputusan anak-anak, mak terima dengan hati yang redha.

Satu lagi sifat mak, tak pernah rasa iri hati dengan orang lain. Tak pernah nak membezakan apa yang orang lain dapat daripada anak-anak mereka dan tak pernah nak menunjuk apa yang mak ada. Semua rezeki datang daripada Allah. Setiap tahun, insyaallah kami meraikan ulang tahun kelahiran mak. Kami adik beradik bersama-sama memasak untuk majlis kecil yang diadakan untuk mak. Itu sebahagian usaha kami untuk membalas setiap pengorbanan mak. Kami tahu mak pasti seronok dengan apa yang telah kami lakukan lebih-lebih lagi kami menjemput beberapa jiran yang terdekat untuk sama-sama meraikannya.

Walau apapun yang telah kami lakukan, aku tahu ianya masih tidak mampu membalas segala jasa mak. Walau seluas lautan harta dan wang ringgit yang kami taburkan, tidak mampu menyaingi semua pengorbanan mak kepada kami. Mak satu-satunya ibu yang kami ada dan kasih sayangnya membawa sehingga ke syurga. Aku bersyukur dan sangat bersyukur dikurniakan ibu yang sangat hebat. Mak anugerah yang tidak ternilai buat kami.

Kepada semua anak, hargailah dan sayangilah ibu anda. Seandainya tiada mereka, maka tiada jugalah kita di atas bumi Allah ini. Jangan sesekali abaikan ibu kita yang banyak berjasa untuk anak-anak. Kepada golongan ibu juga, janganlah kita gunakan kuasa kita sebagai seorang ibu untuk menyumpah anak-anak. Sesungguhnya, kata-kata daripada seorang ibu itu adalah suatu doa. Jadilah kawan untuk anak-anak dan selamilah hati mereka juga. Sekian......

Monday, 2 December 2013

KERANA MULUT

~Kerana pulut santan binasa, kerana MULUT badan binasa....~

Pepatah tersebut tidak akan timbul tanpa sesuatu cerita. Kali ni aku nak kongsikan tentang akibat M.U.L.U.T. Kadang-kadang, aku akui mulut aku pun tak ada insurans jugak.hihihi....
       Benarlah kata pepatah, lidah tidak bertulang. Namun, yang tidak bertulang inilah mampu menjadi senjata yang paling tajam yang mampu menghiris hati dan perasaan orang lain. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. 
       Kadang-kala, ada di antara kita yang bersifat bermuka-muka. Di hadapan kita, punyalah manis berkata-kata. Bak kata, pijak semut pun tak mati. Tapi apabila di belakang kita, bukan main nak tersimpul segala urat lidah dok menganyam ketupat buat bekalan ke neraka. Nauzubillah.....Lebih teruk, semanis rasa dok menambah cerita yang tidak ada. Yang ni, memang boleh mendatangkan kemarahan!!!
       Ada juga pembawa mulut ini datangnya daripada darah daging sendiri. Tanpa rasa malu dan segan, dengan bangganya menjaja perihal isi rumah tangga kepada orang lain. Tanpa sedar, adik, kakak, abang, anak, suami dan isteri menjadi mangsa umpatan dan kejian. Tanpa rasa bersalah, maruah mereka dipijak-dipijak. Sedikit pun mereka tidak sedar impak yang akan diterima di kemudian hari. Ibarat meludah ke langit, akhirnya jatuh ke muka sendiri. Akhirnya, aib sendiri yang jelas terbuka dan ternganga....Yang peliknya, tidakkah mereka berasa malu membuka aib keluarga sendiri. Bukankah sepatutnya aib mereka disimpan ketat jangan sampai terbuka kepada orang luar?Di mana agaknya kewarasan akal mereka ketika itu? Lebih perit, ada yang sanggup menokok tambah cerita yang tidak ada buat penambah perasa penyedap cerita. 
       Tanpa kita sedar, akibat perbuatan kita banyak mendatangkan kerosakan bukan sahaja kepada diri kita malah keluarga dan masyarakat juga. Kita asyik menjaja kisah peribadi orang lain tanpa sedar kita juga sudah membuka aib kita sendiri. Bukan semua orang yang suka mendengar kita asyik bercerita tentang keaiban orang lain. Ada juga yang memandang jelek perbuatan kita yang terang-terang menjatuhkan maruah orang lain. Jangan kita sibuk menjaga tepi kain orang kerana tanpa sedar kain kita sendiri sudah besar berlubang.
       Kadang-kala kita berasa bangga menyebarkan sesuatu berita yang kita sendiri tidak pasti sejauh mana kebenarannya. Banyak akibat buruk yang menanti. Andai kita ketahui sedikit keburukan orang lain, simpankan ia agar tidak disebar kepada orang lain kerana bimbang mampu menjadi fitnah dalam masyarakat. Bukankah kita disuruh untuk menutup keaiban saudara seagama kita? Allah swt berfirman dalam Surah Al Hujarat Ayat 12 bermaksud: " Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."
       Rasulullah juga pernah bersabda bahawa : “Wahai golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan janganlah mengintip keaiban mereka, maka barang siapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya dan siapa yang diintip Allah akan keaibannya maka Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahsiakan di lubang kenderaannya.”
       Setiap manusia tidak sempurna dan tidak lari daripada melakukan kesilapan. Sebelum berkata-kata perihal orang lain, cermin diri kita sendiri. Lihat sejauh mana keimanan kita kepada Allah dan nilaikan sendiri berapa kebaikan yang telah kita buat dalam kehidupan seharian kita. Terimalah setiap teguran dengan hati yang terbuka. Lapangkan hati dan bersihkanlah rohani kita. Jangan biarkan syaitan merajai hati dan perasaan. Suburkan iman, maniskan senyuman....

Sunday, 1 December 2013

KERANA JANJI

Pepatah melayu ada mengatakan, lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Orang-orang zaman dahulu amat bijak dalam mencipta madah dan kata-kata hikmat dengan mengaitkan keadaan alam sekeliling. Kadang-kadang tak terjangkau dek akal fikiran kita. 
       Berbalik kepada peribahasa yang disebut tadi, tidak kita nafikan sifat manusia yang suka menabur janji tanpa berfikir terlebih dahulu. Sang mulut dengan begitu yakin berjanji sedangkan kita belum pasti dapat menunaikannya. Sudahnya, bukan diri sendiri sahaja yang menanggung impaknya bahkan orang sekeliling juga hingga tanpa sedar ada hati yang terluka.
       Dalam Islam sendiri, ditegaskan andai ingin melakukan sesuatu, memadailah dengan menyebut insyaAllah kerana setiap yang berlaku adalah dengan izin Allah. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari. Jangan sesekali berjanji andai ianya belum pasti kerana disebabkan pulut, santan binasa; disebabkan mulut, badan binasa. Akhirnya nanti, siapa pula yang akan dijadikan kambing hitam untuk dipersalahkan? Jangan sudah terhantuk, baru hendak terngadah.
       Janji bukan sekadar janji kerana ada janji yang dibawa sehingga mati. Mungkin ianya nampak remeh untuk sesetengah orang, tapi apabila kita telah berjanji bermakna kita telah mengikat seseorang dengan suatu keputusan yang bulat dan tekad. Tidakkah kita terfikir andai suatu hari kita tidak dapat menunaikan janji yang telah dibuat, pandangan serong akan dilontarkan kepada kita. Tiba masanya, barulah kita terpekik terlolong menyalahkan orang lain. 
       Orang yang memungkiri janji adalah sebahagian daripada golongan munafik. Dan tahukah anda, dosa orang yang munafik adalah lebih buruk daripada dosa membunuh? Allah telah berfirman dalam surah Annisa', ayat 145 yang bermaksud :Sesungguhnya orang- orang munafik itu ditempatkan  pada jurang neraka yang paling dalam."
       Akhirul kalam, menunaikan janji adalah wajib. Jangan sesekali berjanji andai diri belum pasti dapat menunaikannya. Nampak mudah tapi besar impaknya kepada diri, keluarga dan masyarakat. Aku juga insan biasa yang tak lari daripada kekhilafan namun, kita wajib berpesan-pesan. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda; "sampaikanlah pesanku walau hanya sepotong ayat". Yang baik itu datangnya daripada Allah, yang buruk datangnya daripada khilafku sendiri. 

Monday, 25 November 2013

CINTA BUAT SANG PENCIPTA

Mencintai dan dicintai adalah dua perkara yang berbeza. Mencintai seseorang tidak seindah seperti dicintai. Perasaan dicintai sudah tentu membuatkan diri seseorang terbuai dengan satu perasaan halus yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.  Lebih indah andai rasa dicintai seiring dengan rasa mencintai. Namun, bukan cinta sesama insan yang ingin aku ketengahkan sebenarnya. Cinta kepada ALLAH seharusnya diberikan keutamaan.
                Aku sedar, aku bukanlah hambaNya yang sempurna. Kadang-kala, aku juga sering alpa dengan keindahan dunia. Banyak kekurangan yang aku perlu perbaiki. Andai sehelai kain dapatku bentang sebagai pengganti banyaknya amalanku, sudah tentu banyak lompang di sana sini. Namun, aku cuba sedikit demi sedikit untuk memperbaiki kelemahan hidupku.
                Insan mana yang tidak mahu dicintai Sang Penciptanya? Sungguh beruntung insan-insan yang dapat menjadi kekasih Allah SWT. Syurga Jannah sudah pasti menjadi kediamannya kelak. Allahu Rabbi, bantulah aku dan berikanlah aku peluang untuk menjadi kekasihMu Ya Allah.
                Allah tidak pernah menolak doa hamba yang benar-benar beriman kepadaNya. Lambat atau cepat adalah kehendakNya jua kerana hanya Dia sebaik-baik perancang. Orang yang penuh palitan dosa belum tentu neraka tempatnya kerana sedikit amal yang dilakukan mungkin menjadi penimbang tara ke syurga, begitu juga sebaliknya. Yang menilai adalah Allah, bukan di mata manusia. Namun, hijrah adalah sebaik-baik jalan penyelamat. Sebagai hamba yang sering terleka, kita perlu sentiasa muhasabah diri untuk berhijrah ke jalan kebaikan. Allah berfirman dalam Surah Annisaa’, ayat ke 100 : “Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya disisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
                Di dalam Al-Quran sudah dijelaskan ganjaran yang Allah sediakan buat hamba-hambaNya yang bertakwa. Sepertimana yang dijelaskan dalam Surah An Nahl, ayat 31 : “(iaitu) syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya, mengalir di bawahnya sungai-sungai, di dalam syurga itu mereka mendapat segala apa yang mereka kehendaki. Demikianlah Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertakwa,”.
                Sampai bila kita perlu menzalimi diri sendiri? Tidakkah kita mahu merebut peluang untuk menjadi kekasih yang sebenar-benarnya di sisi Allah?Namun, bagaimanakah persediaan kita sebelum menemui Sang Pencipta?Kita adalah penentu neraca hidup kita di akhirat kelak, bukan sesiapa. Semoga kita berasa nikmat mencintai dan dicintai Yang Maha Esa. Allah menjanjikan syafaat yang amat besar buat hamba yang tidak pernah melupakanNya…..Wallahualam…..

Sunday, 1 September 2013

RAHSIA ALLAH

Sememangnya menjadi lumrah dalam kehidupan masyarakat kita yang suka mengambil 'berat' akan hal orang lain. Tidak dinafikan sikap keprihatinan ini penting untuk mengukuhkan ukhwah sesama masyarakat. Namun, sikap terlebih prihatin ini kadang-kala merimaskan orang lain. Lebih teruk, sikap terlebih prihatin ini kadang-kala mengguris hati dan perasaan orang lain. Bagi kita, mungkin kita berniat baik tetapi biarlah berpada-pada kerana kadang-kala, cara teguran kita tidak kena pada tempatnya.

         Jangan ditanya perkara yang menjadi rahsia Allah. Seolah-olah, kita menolak dan mempertikaikan qada' dan qadarNya. Setiap manusia sudah tentu menginginkan setiap apa yang diidamkan akan tercapai. Namun, tidak semuanya akan kita perolehi. Siapa kita untuk menolak takdir Allah?

         Jangan ditanya, "Eh, bila nak kahwin?". "Bila nak ada anak?". Bila nak itu, bila nak ini?Eh, siapa kita untuk tentukan semua itu terjadi?Jangan bertanya dan bercakap seolah-olah kita tiada akal untuk berfikir. Semua yang berlaku atas ketentuan Allah. Andai Dia berkata "Kun fa ya kun", maka jadilah ia. Andai tidak, kita sebagai hambaNya yang lemah dan hina perlu redha akan setiap ketentuanNya. Tiada siapa yang berkuasa menjadikan sesuatu melainkan hanya Dia sahaja. 

         Allah mempunyai sebab dan alasan mengapa sesuatu itu tidak terjadi. Hanya Dia yang mengetahui hikmah yang tersembunyi disebalik apa yang terjadi. Jangan sesekali mempersoalkan hakikat tersebut. Setiap ujian yang Allah berikan menjadikan hambaNya lebih redha dan sabar dalam menjalani kehidupan seharian. Allah menguji tanda sayangNya Dia kepada hambaNya. Kadang-kala kita sebagai hambaNya alpa dengan nikmat yang Dia berikan. 

“… dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), ALLAH jualah yang Maha Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Al-Baqarah, ayat 216)

          Keyakinan penting dalam meneruskan hidup di bumi pinjaman Allah ini. Mungkin Allah tidak memberikan apa yang kita minta pada hari ini kerana Dia yang lebih tahu apa yang terbaik untuk kita pada hari ini. Barangkali Dia menjanjikan yang lebih baik pada masa akan datang. Sesungguhnya, Dialah sebaik-baik perancang.  Andai kita redha, insyaallah kemanisan itu pasti akan tiba.  Percayalah, di setiap kesulitan pasti ada kesenangan.

          Sebagai hamba yang bertakwa, selalulah bersyukur kepadaNya atas nikmat yang telah diberikan dan kita perlu ingat, segala nikmat di dunia hanya pinjaman semata-mata. Usah pertikaikan kenapa aku begini kenapa dia begitu. Setiap orang, rezekinya berbeza-beza. Yang penting, usaha, doa, tawakkal dan redha akan ketentuanNya. Positifkan diri dan yakin Allah mempunyai perancangan yang lebih baik untuk kita.......




Sunday, 7 July 2013

EPISOD KEHIDUPAN : MOOD MASAK MEMASAK DAN MEMANIK

Lama rasanya tak jenguk blog ni. Almaklumla, wanita berkerjaya...hihihi....Kali ni nak update tentang hobi baru aku yang suka nak cuba resepi-resepi baru asalkan resepinya mudah dan juga jahitan manik. Dengan bantuan encik google, tiada apa yang mustahil. Semuanya di hujung jari je.

          Untuk masakan, macam-macam resepi aku dah cuba. Alhamdulillah, buat masa ni semuanya menjadi. Kadang-kadang aku olah sikit resepi tu ikut citarasa aku. Nak masak kena la kreatif kan. Bukan apa, kadang-kadang tu bahan-bahan tak berapa nak cukup kat dapur. Kalau dah nak sangat cuba, pandai-pandai la nak ganti apa pun....hihihi.....

          Resepi-resepi yang mudah ni aku dapat dari www.myresipi.com  dan juga dari www.kongsiresepi.com
Kat sini ramai kakak-kakak yang sudi share  resepi diaorang. Korang boleh search  resepi yang korang nak kat link tu. Bagi aku, tiada alasan kalau nak memasak. Tinggal nak dengan tak nak je. Lagi satu, untuk perut sendiri kan.Apa ada hal......Tak payah nak berkira sangat la. Bila makan hasil tangan sendiri, kita pun rasa puas hati. Dapat plak, bila ada orang puji hasil air tangan kita, fuhhhhh..... lagi la bangga.hihihi.......

          Kat sini ada beberapa keping gambar resepi yang aku dah cuba dan sempat diambil gambarnya. Kalau nak resepi penuh, boleh cari kat link atas.... Tapi, ada yang pandai-pandai sendiri je buat.hihihi....

cucur keladi

puding roti kukus

pulut dan pengat durian


kek gula hangus

          Jahitan manik pun pandai-pandai sendiri je nak buat macammana. Seingat aku, last aku jahit manik kat baju masa zaman belajar kat u dulu. Sampai sakit tengkuk dibuatnya. Sebab tu tak berapa nak rajin jahit manik. Cuma baru-baru ni ada jahit untuk shawl plain halfmoon dan baju kurung plain. Tapi, yang sempat ambil gambar, hasil tangan jahit kat halfmoon je la. Tu pun, aku jahit simple je...Suami cakap cantik. Tapi, tak tahu la kan...Dia cakap, kalau aku tak kerja, ambil upah jahit manik pun dah ok. huhuhu....Meh la tengok jap....
ni keseluruhan bahagian atas

dari jarak dekat

bahagian tepi halfmoon

bahagian atas kepala
           Halfmoon kat atas ni asalnya plain. So, aku pun jahit la manik bagi menarik sikit....hihihi...tapi aku jahit yang simple je sebab tak nak bagi terlalu menyerlah sangat.


Wednesday, 8 May 2013

CORETAN BUAT BANGSAKU....

Ibarat rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Itulah diibaratkan dengan senario politik negara masa kini. Aku bukanlah pro mana-mana parti. Aku melihat dan menilai dari perspektif yang mungkin berbeza daripada orang lain. Disebabkan fahaman dan ideologi yang berbeza, masyarakat berpecah-belah. Masing-masing dengan falsafah yang tersendiri.
   Aku jadi malu dengan bangsaku yang bercakaran sesama sendiri. Seharusnya, kita sepakat mencari jalan penyelesaian sesuatu isu. Ini tidak, masing-masing dengan keegoan yang begitu menebal. Saling tuding-menuding dan caci-mencaci. Ada yang sanggup melabelkan seseorang dengan gelaran yang cukup kasar bagi pendengaranku semata-mata mahu memenangi pihak yang disokong. Tak perlu aku jelaskannya kerana aku sendiri meluat dan sakit hati tatkala mendengar 'kalimah' tersebut. Bagaimana pula dengan pihak yang sewenang-wenangnya melabelkan orang lain dengan gelaran sebegitu?Bagi aku, mereka juga sama. Sepatutnya cermin diri sendiri dahulu. Ibarat meludah ke langit, akhirnya terjatuh ke muka sendiri.
   Aku malu apabila pihak yang mengaku diri memperjuangkan nama Islam tapi dengan sewenang-wenangnya mengeji pihak lain. Islam agama yang suci. Jangan sesekali dicemari dengan kata-kata nista dan tindakan yang keji. Mengaku ingin menegakkan agama sedangkan diri sendiri tidak menunjukkan teladan yang baik sebagai muslim sejati.
    Ingin aku tegaskan sekali lagi, aku bukanlah pro mana-mana parti. Tapi inilah hakikat yang berlaku masa kini. Bak kata, tepuk dada tanya selera. Dimana letaknya iman kita sebagai bangsa yang beragama?
    Jangan salahkan pihak lain dalam segala tindak-tanduk kita. Aku yakin, akal kewarasan kita mampu menilai yang mana kaca dan yang mana permata. Aku ibarat seorang pejuang bangsa. Mungkin ada yang berkata, apa yang perlu dibangga dengan MELAYU sedangkan agama lah yang perlu diperjuangkan. Ya, mungkin betul apa yang anda fikirkan. Tapi, siapa lagi yang akan perjuangkan agama ISLAM kalau bukan bangsa MELAYU itu sendiri. Bukan bangsa Cina dan bukan juga bangsa India. Kalau ada pun, berapa kerat sahaja yang bergelar mualaf yang akan perjuangkannya. Apabila isu ini diutarakan, jangan sesekali labelkan aku sebagai racist. Aku pejuang bangsa!Aku ada pendirian aku sendiri tanpa dipengaruhi pihak lain.Isu racist tidak seharusnya timbul.
    Aku malu apabila bangsaku berpecah-belah. Teringin melihat semua bangsaku bersatu di bawah satu payung yang sama. Tapi, aku pasti ini tidak akan terjadi andai semua pihak tidak mahu melepaskan ego masing-masing. Alasannya, perjuangan mereka yang berbeza. Aduhai bangsaku.....dimana kewarasan anda?
    Ada suara-suara yang mengatakan daripada parti A bergabung dengan parti B, lebih baik parti A bergabung dengan parti C. Alahai bangsaku....sanggup menjaja perjuangan dan matlamat yang menjadi wadah perjuangan selama ini semata-mata ego yang menebal. Sudah terang lagi bersuluh pihak yang satu itu menolak apa yang anda perjuangkan. Apa yang anda perjuangkan sebenarnya?Aku tidak sanggup agamaku tergadai kerana 'kepandaian' tindakan anda.
    Aduhai bangsaku....jangan kita persiakan masa depan bangsa, agama dan negara kita. Buangkanlah jauh-jauh sifat iri hati dan hasad dengki. Tanamkanlah sifat-sifat mahmudah dalam diri. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Hentikanlah segala tohmahan dan caci-maki.
    Buat bangsaku, janganlah menidakkan perkara yang terbukti benar. Terimalah hakikat dan redhailah segalanya. Sampai bila kita perlu mengotorkan hati dengan perbuatan yang sia-sia. Rasulullah tidak mengajar kita untuk bermusuhan sesama sendiri. Tanamkanlah rasa sayang dalam diri. Tegurlah secara berhemah andai ada kekhilafan di pihak yang lain. Rasulullah merupakan teladan yang baik kepada kita. Baginda tidak pernah marah jauh lagi berdendam dengan pihak yang memusuhi dan membenci Baginda. Baginda tetap tersenyum dan bersabar. Andai anda rasakan anda dizalimi, mohonlah pada Allah agar ditunjukkan kebenaranNya. Bukan berdoa meminta keburukan kepada pihak lain....Muhasabahlah diri kita sendiri.
    Maaf andai coretan aku menyinggung perasaan kalian. Aku ingin sampaikan apa yang terbuku dalam hati aku apabila melihatkan senario yang berlaku masa kini. Gunakanlah mata hati anda dalam menilai baik buruk sesuatu perkara dan buangkanlah keegoan yang menebal dalam diri. Tiada siapa yang mampu mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri....Segala yang baik datangnya daripada Allah, dan yang buruk itu berlaku daripada kekhilafan aku sendiri.Maafkan aku teman......

Monday, 6 May 2013

NUKILAN BANGSA MERDEKA

Sejak keputusan PRU13 diumumkan ni, tiba-tiba semangatku membara.Kita perlu bersatu demi memastikan tanah air kita tidak tergadai kepada bangsa asing.Tanah ini tanah kita.Kita perlu pertahankannya.Aku tak mahu bangsa aku jadi seperti pak kaduk.Ayamnya menang bersabung habis kampung tergadai.Kita jangan terlalu leka dan alpa dengan permainan politik dunia.Sudah tiba masanya kita bersatu dan menolak ke tepi ego masing-masing.
   Sedang aku memasak, maka tercipta la sebuah puisi yang lahir ikhlas dari lubuk hati aku sebagai anak bangsa yang cintakan keamanan dan kemakmuran...Harap semua bangsaku dapat memahami apa yang cuba aku sampaikan.Semoga bumi Malaysia sentiasa dilimpahkan rahmat dari Ilahi...Bangkitlah anak bangsaku!

Bangsa kita bangsa merdeka
jangan sekali kita persia
perjuangan datok moyang kita. 

Rumah ini rumah kita
kita perlu pertahankannya
usah berbalah usah sengketa
jauhi caci dan hasad dengki
barulah hidup aman, makmur dan harmoni.

Kita bangsa merdeka
yakinlah kata sang pujangga
bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

Kita bangsa merdeka
pertahankan segala apa yang jadi milik kita.

Rumah ini rumah kita
terbina daripada air mata dan darah pejuang bangsa
usah kita terlalu alpa
hingga tergadai maruah bangsa
akibat tamak dan haloba.

Kita bangsa merdeka
selaklah buku sejarah lama
usah berhujah tanpa fakta
kelak kita berputih mata.

Rumah ini rumah kita
tegakah kita anak bangsa
membiarkan nafas kita dihirup tanpa rela....

Sekian.....

Wednesday, 1 May 2013

Algen Collagen (Rumpai Laut)

Assalamualaikum...
Skangni ramai yang bercerita tentang rumpai laut.Apa keistimewaan rumpai laut ni sampai ramai yang mencari ek?Aku taknak cite lebih2 sebab aku yakin korang pun dh google kn nk cri apa tu rumpai laut n khasiatnya...
    Oleh sebab ramai sangat yang dok sebut tentang keistimewaan rumpai laut, aku pun amek kesempatan tok jual benda alah ni atas cadangan rakan aku yang dok kt sabah. Dia perkenalkan kat aku bila tau mak mertua aku dapat sakit kanser payudara. Mula-mula kurang yakin tapi aku beli jugak untuk mak mertua aku. Sebelum jual nak kena test dulu.Adik ipar aku yang turut try rumpai laut ni pun bagi feedback kt aku cakap ok sangat bila dia makan n sapu kt muka.Aku pun apa lagi, terus order lagi kat member. Bila aku sendiri yang amalkan memang betul, ada tindak balas yang positif. Kulit lebih licin n lebih lawas ketika buang air. Sebabnya, aku ni memang punya masalah tok buang air. Apa kata, korang rasa sendiri n nilaikan... Tak perlu bazir duit tok beli produk yang mahal2... Dapatkannya dengan harga yang berpatutan di https://www.facebook.com/AlgenCollagen

Bungkusan Algen Collagen Gred A n AAA (100 gm)

Rebusan Gred AAA (470 ml for RM5)

Atas : Perisa koko (Gred A) Bawah : Gred AAA 


Perisa jagung (1 ltr for RM10)

Bungkusan Gred A (RM22)

RM30

Masa nak rebus

Sunday, 24 March 2013

10 SEBAB KORANG TAK PATUT BERCINTA KETIKA ZAMAN SEKOLAH

Zaman sekarang ni budak-budak sekolah sibuk nak bercinta.Korang rasa hebat sangat ke bercinta zaman sekolah ni?Patutnya mak ayah hantar sekolah korang belajar elok-elok,jadi pandai.Ni tak,sibuk bercintan-cintun sampai pelajaran pun terabai.

    Hari ni aku nak kongsi rahsia kenapa korang tak patut bercinta masa sekolah.Ni berdasarkan pemerhatian aku yang terlebih dulu makan garam daripada korang yang masih hingusan lagi.hihihihi..... Selebihnya, adalah daripada pengalaman aku sendiri.kihkihkih...Tapi pengalaman aku tak banyak la. Banyaknya, adalah hasil pemerhatian aku terhadap isu semasa yang sering mewarnai kehidupan kita sekarang ni.Sebab tu aku nak kongsi rahsia ni dengan korang-korang semua...Tanpa membuang masa, meh la kita tatapi coretan aku kali ni....

1)  Membazir duit
      - Apabila korang hanyut bercinta, korang mesti nak beli hadiah untuk couple korang kan?Haaa...kan tak pasal-pasal korang terpaksa laburkan duit korang pada orang yang belum tentu akan jadi suami/isteri korang.Kadang-kadang korang terpaksa ikat perut semata-mata nak simpan duit untuk belikan hadiah buat pasangan korang.Konon nak buktikan kat couple korang yang korang sayangkan dia la tu.Tak pasal-pasal......

2)   Jadi penipu
       - Korang jugak akan dilaknat Tuhan (cehcehceh.....hihihi) sebab korang akan jadi manusia munafik. Korang akan sanggup menipu mak ayah korang sebab nak cari peluang keluar dating dengan pasangan korang. Korang rasa ada ke mak ayah yang nak bagi anak dia yang masih sekolah keluar dengan pasangan diaorang?Memang tak la kan...Tak tahu la plak kalau ada mak ayah yang sporting sesangat....

3)   Selalu kena marah
       - Apabila korang dah gatal sangat selalu keluar dengan couple korang dan mak ayah korang pulak tahu, mesti korang kena marah kan?Silap-silap, kena bambu dengan diaorang.Haaa....rasakan...

4)   Pelajaran merosot 
       - Pelajaran korang jugak akan mula merosot sebab dah malas nak study. Duduk kat meja belajar konon buat kerja sekolah, padahal leka mengarang surat cinta penuh ayat bunga-bunga...

5)   Nampak tua
       - Kadang-kadang, korang akan nampak lebih tua daripada usia sebenar korang sebab korang mula nak berfesyen macam orang yang dah bekerja. Dengan make up setebal 2 inci, kasut tumit setinggi 5 inci dengan handbag lagi.Alahaiiiii......

6)   Hilang kawan
      - Korang jugak akan menjauhkan diri daripada kawan-kawan korang sebab asyik berkepit dengan pasangan korang. Masa tu korang rasa kawan takde pun tak apa asalkan couple korang akan sentiasa ada disisi korang. Konon dunia ni untuk korang berdua je la....

 7)   Digelar monyet

        - Yang ini memang tak dapat disangkal lagi.Kan orang cakap kalau bercinta zaman sekolah ni dipanggil cinta monyet. Jadi, agak-agak siapa monyetnya?hihihihi.....
 
8)   Hilang maruah
      - Ini kes yang paling banyak sekarang ni. Kerana cinta, sanggup korban segala.Ish...ish...Yang pompuan sanggup gadai body sebab kononnya nak buktikan sepenuh kasih dan sayang pada sang lelaki..Umur baru berapa dah terlebih pandai. Bila dah mengandung, korang akan....

9)   Jadi pembunuh
      - Bila akal dah buntu, korang sanggup plak bunuh nyawa yang tak berdosa.Tak pasal-pasal, si kecil menjadi mangsa sebab nak tutup aib yang korang dah buat. 

10)  Memalukan keluarga 
        - Bila dah jadi no 8 dan 9, secara tak langsung, korang akan menconteng arang pada maruah keluarga korang. Masyarakat akan mencaci mak ayah korang. Tak pasal-pasal mak ayah korang dituduh tak pandai jaga anak. Padahal korang yang buat salah dan letak otak korang kat kepala lutut....

Ini je la yang dapat aku kongsikan buat adik-adik/anak-anak semua...Tak semua yang aku bagitahu ni semuanya terjadi.Pandai-pandai korang la gunakan akal yang tuhan bagi untuk fikir baik buruk semua tu.Kadang-kadang, cinta monyet ni boleh jugak jadi motivasi untuk korang.Cuma, macam aku bagitahu tadi, pandai-pandai la....Yang baik jadikan ikutan, yang buruk jadikan sempadan...Semoga Allah merahmati kalian..... 

Sunday, 17 March 2013

SURI RUMAH vs SUPERWOMAN

Fuh...selesai jugak operasi mengemas hari ini...Penat memang penat.sampai keneneng kepala dibuatnya...Mana nak masak sarapan, menyapu, mengemop, masak tengah hari, kemas dapur, basuh baju, lipat baju....fuhhhhh...memang mencabar.nasib bilik air dah sental hari tu.kalau tak berganda-ganda kepenatan hari ni....

    Aku memang tabik spring pada suri rumah sepenuh masa ni.hari-hari buat benda yang sama dari celik anak mata sampai la mata terpejam nak tido.memang super duper hebat la.hebat macam superwoman.

    Nak cite pasal superwoman,aku rasa mak aku la suri rumah vs superwoman yang super duper hebat.bayangkan mak mampu membesarkan kami tujuh beradik dengan jayanya...huhuhu...sampai la aku di tahap sekarang ni.bukan setakat anak-anak nak dibesarkan, anak-anak lembu termasuk mak bapak lembu pun mak mampu nak jaga...mak memang hebat...

    Bangun pagi je, maka bermula la rutin mak.mana nak masak sarapan, basuh baju, sidai baju, bagi ayam itik makan,masak tengah hari lagi. petang-petang uruskan lembu-lembu dan kambing-kambing yang ada.fuhhh...dahsyat.sian kat mak...patut la mak slalu tido awal....

    Aku sangat bangga punya mak yang super duper hebat.Skangni, ni la masa aku untuk balas segala jasa mak pada kami.in shaa Allah, selagi termampu, aku akan berikan yang terbaik untuk mak.mak la ratu hatiku dan SUPERWOMAN dalam hidupku.....




Friday, 15 March 2013

SELAMAT PAGI, CIKGU!!!

Sape kata jadi seorang guru sangat senang?Kononnya,kerja setengah hari, banyak cuti panjang,dok mengajar je,tanda buku sikit-sikit....Hmmmmm.....meh test aku bagi korang peluang untuk jadi seorang guru.Aku bagi tempoh seminggu gantikan aku nak?Tak payah tunggu seminggu. Dapat gantikan aku sehari pun dah cukup ok dah...Meh tengok senang ke tak senang.
     Minggu ni agak stress buat aku.Tak tahu kenapa padahal kerja yang sama dok buat hari-hari...Rasa tak cukup rehat.Dengan buku yang berlambak-lambak kat atas meja.Rasa cam nak telan orang je.Hampir tiap-tiap hari aku terpaksa bawak balik buku untuk disemak.Kalau tak, makin membukit la kat atas meja tu nanti.Balik-balik kerja rumah nak kena settle lagi.Baju nak kena lipat,yang dalam baldi nak kena basuh, masak lagi.Last-last, rumah pun tak sempat nak berkemas.Kena postpone hujung minggu la.
    Minggu ni terasa panjang la plak.Tak pasal-pasal esok kena berkampung kat sekolah dari pagi sampai petang...Pagi sekolah ganti,petang plak mesyuarat PIBG.Tiba-tiba rasa cam nak demam la plak...hahaha.....Tapi, aku kan cikgu yang berdedikasi (poyo lebih.kihkihkih).Nak tak nak, tanggungjawab perlu dilaksanakan.
    Mengajar anak orang bukanlah satu tugas yang mudah.Dapat-dapat ngajar budak-budak yang 'tak reti bahasa'.Hari-hari aku jadi tarzan kat kelas tu.Macam dok dalam zoo pun ada gak.Mesti mood pusing terus bila keluar dari kelas tu.Yang perempuan dok terkangkang kat belakang sambil berkipas ngan gelak cam pontianak sebijik macam mak a*** (tak sanggup nak tulis.kihkihkih).Sakit tol ati aku.Buku satu pun tak pernah hantar.Buat la apapun, tak masuk kat otak diaorang pun..Daripada aku sakit hati,lantak korang la nak buat apapun.Stress aku dibuatnya...
    Kepada siapa-siapa yang asyik cakap cikgu tak de kerja,meh la jadi cikgu cam aku.Jadi cikgu senang je...tak susah mana pun.Bila exam, kena masukkan markah dalam sistem sekolah,sistem kementerian lagi.Kadang-kadang sistem sedang diselenggara.Korang kena tunggu sampai ok.Disebabkan nak kejar due date, korang tido la pukul 2 pagi ke.Tak pun korang bangun pukul 4 pagi.Belum lagi korang nak masukkan markah PBS.Yang ni aku masih bernasib baik lagi sebab belum tiba giliran aku.Tunggu tahun depan camne.Bila cuti, korang jadi la baby sitter tok bebudak kejap bila diaorang buat kem.Korang tak perlu buat apa-apa.Cuma tunggu dan tengok je diaorang buat apa.Bila tengah malam diaorang buat aktiviti malam burung hantu ke.korang pun tunggu la skali.Bukan susah pun kan...
    Banyak lagi sebenarnya, tapi mata aku dah ngantuk.Cukuplah sampai disini jejariku menari...cewahhhh...gud nite.Kepada semua rakan seperjuangan, ikhlaskan lah diri dan selamat menjadi seorang guru yang berdedikasi...wassalam....